30 June 2014

Ramadan di Tanah Suci

Projek jambatan tawaf yang masih belum siap. - Foto Zainal Abidin Sulaiman





Penduduk Arab Saudi menyambut Ramadan pada 10 Julai iaitu sama dengan negara kita. Penulis sempat bersolat Tarawih pada malam pertama di Masjid Nabawi di Madinah. Solat sunat itu dilakukan sebanyak 20 rakaat dan imam membaca satu juzuk setiap malam. Pada akhir solat witir, imam hanya membaca surah al-Ikhlas berbanding tiga ‘Qul’ dibaca imam di negara kita. Imam juga membaca doa qunut pada rakaat terakhir solat witir berbanding di negara kita hanya dibaca mulai pada malam 15 Ramadan.


Penulis berpuasa hanya pada hari pertama di Madinah kerana berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah pada hari yang sama. Perjalanan yang agak jauh menyebabkan kami berbuka puasa dalam bas, sebelum berhenti untuk menjamu selera di sebuah restoran yang menyediakan nasi ala Yaman di Wadi Qudaik. Oleh kerana waktu itu berbuka puasa, banyak bas membawa Jemaah pelbagai negara singgah di situ.

Rombongan kami tiba di Makkah ketika solat Tarawih berlangsung. Sebaik solat selesai, pihak polis tidak membenarkan jemaah luar masuk sehingga kebanyakan jemaah di dalam Masjidilharam keluar. Oleh itu, mutawif menasihatkan kami menyelesaikan tawaf selepas bersahur.

Ketika memulakan tawaf, penulis melihat binaan projek tempat tawaf bertingkat sedang dilakukan. Pelaksanaan projek dengan tiang besi tempat tawaf bertingkat itu sedikit sebanyak menjejas kelancaran perjalanan tawaf, lebih-lebih lagi berhampiran Hajarul Aswad apabila jemaah memperlahankan pergerakan.

Laluan ke kawasan saie berubah

Selesai tawaf dan melakukan solat sunat tawaf di kawasan yang terhad, kami meneruskan perjalanan untuk melakukan saie di antara Bukit Safa dan Marwah. Laluan ke kawasan saie juga berubah dan banyak lencongan dibuat. Sebanyak tiga kali umrah penulis lakukan dalam tempoh empat hari dan terpaksa menggunakan laluan berlainan untuk ke kawasan saie. Kali terakhir kami dibawa bersaie di tingkat atas. 

Menyedari keadaan ini, penulis bersetuju dengan langkah pihak berkuasa Arab Saudi mengehadkan jumlah kedatangan jemaah umrah dan haji demi keselesaan dan keselamatan jemaah itu sendiri. Jika tiada kawalan, jumlah jemaah yang terlalu ramai bertawaf dan berjalan berhimpit-himpit boleh menyebabkan ada yang sesak nafas dan jika terjatuh boleh mangsa dipijak seperti yang pernah berlaku di kawasan melontar jamrah pada musim haji beberapa tahun sebelum ini.

Selesai bersaie dan bergunting, penulis bersama anak perempuan dan rakan keluar ke dataran Masjidilharam. Kami dihampiri seorang lelaki ‘Bangladesh’ bertanya: “Botak?”. Penulis faham maksudnya iaitu bertanyakan sama ada penulis mahu bercukur. Penulis dan rakan mengangguk kepala tanda setuju.

Sejak tahun lalu, kebanyakan premis gunting rambut yang beroperasi di bangunan yang dirobohkan dikumpulkan di satu kawasan khas tingkat bawah Al Safwa Tower. Oleh kerana ramai orang tidak tahu, pengusaha gunting rambut menggunakan khidmat ‘jurujual’. 

Pada malamnya, penulis berbuka puasa di Masjidilharam. Restoran berdekatan membuat tawaran kepada mana-mana dermawan untuk menyumbang makanan kepada orang ramai. Biasanya satu bungkus makanan dan minuman berharga 5 rial. Jika menyumbang 100 rial, dapat memberi makan untuk 20 orang.


Berbuka di tingkat atas Masjidilharam

Sejam sebelum berbuka, orang ramai memenuhi dataran dan setiap sudut Masjidilharam. Penulis berbuka bersama warga negara lain di tingkat paling atas. Walaupun kami tidak mengenali antara satu sama lain, kami bertukar-tukar makanan yang dibawa seperti buah tamar, anggur dan pisang. Orang di sebelah penulis memberikan sebotol susu dan yang lain berikan sekeping roti menyerupai capati.

Sukarelawan lain pula menyedia minuman air zam-zam, teh dan kopi herba. Kalau diikutkan kebaikan sukarelawan, mahu kembung perut penulis kerana sepanjang perjalanan sesudah solat kerana ramai mempelawa minum. Ketika berbuka, biasanya hanya mengambil makanan ringan dan makanan berat hanya ketika berada di hotel.

Esoknya, pada pagi Jumaat ketika solat Subuh, imam Masjidilharam, Abdul Rahman as-Sudais tidak membaca Surah As Sajdah yang ada sujud sejadah seperti kebiasaan dibaca imam di negara kita. Penulis perasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, imam Masjidilharam dan Masjid Nabi jarang membaca Surah Sajdah.

Ketika menunggu masuk waktu solat Jumaat, penulis disapa seorang lelaki dengan memperkenalkan diri sebagai Enayatollah Yazdani (PhD). Beliau mengakui pernah ke Malaysia dan mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau yang juga Profesor Madya Hubungan Antarabangsa di Jabatan Sains Politik, Universiti Isfahan, Iran, sempat berseloroh bahawa orang Malaysia pandai membaca al-Quran, tetapi tidak pandai berbahasa Arab.

Khutbah Jumaat panjang

Ketika solat Jumaat, imam as-Sudais membaca khutbah agak panjang. Sesekali beliau sebak. Penulis bertanya kepada seorang mutawif selepas solat, beliau berkata as-Sudais sedih mengenang nasib umat Islam di Palestin, Syria dan lain-lain. Imam as-Sudais meneruskan solat Jumaat dengan hanya membaca surah pendek kalau tidak salah penulis, Surah al-Qadr pada rakaat pertama dan Surah al-Kausar pada rakaat kedua.

Oleh kerana ruang sekitar Masjidilharam agak terhad berikutan ramai jemaah pada Ramadan, kita tidak berpeluang berehat atau bersantai di ruang bukan tempat solat. Polis Arab Saudi meminta kita beredar. Malah, untuk bersolat sunat tawaf juga perlu disegerakan dan selepas berdoa diminta beredar.

Begitu juga jika tiba di masjid lewat 15 minit sebelum waktu solat, polis tidak akan benarkan masuk, sebaliknya mengarahkan kita bergerak ke laluan naik ke tingkat masjid paling atas. Kadang-kadang agak jauh perlu berjalan.

Memang seronok berada di Tanah Suci Makkah, khususnya di Masjidilharam kerana kita dapat menemui umat Islam dari pelbagai bangsa, selain dapat melihat kumpulan besar jemaah yang datang dari India, Pakistan, Turki, Afrika dan China. Penulis teringin melihat kumpulan besar jemaah kulit putih berketurunan Inggeris, Amerika, Jerman, Perancis dan Russia.

Pembangunan di luar kawasan Masjidilharam juga berjalan rancak. Banyak hotel lama sudah dirobohkan. Sekurang-kurangnya tiga hotel yang pernah penulis menginap sudah dirobohkan, termasuk satu yang terbabit dalam projek pembesaran Masjidilharam dan dua lagi di Jalan Misfalah. Kerja perobohan rancak dilakukan pada waktu malam.

Jangan bermain api - Amaran PAS pada MCA




HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS mengecam keras kenyataan Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berikutan terdapat bekas pemimpinnya menyertai pergerakan jihad di Syria.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad(gambar) memandang berat kenyataan Kim Seng itu kerana ia secara jelas berniat menakut-nakutkan rakyat terutamanya dari kalangan masyarakat Cina terhadap PAS.

"Saya bagi pihak Presiden PAS dan para pemimpin parti memberi amaran keras kepada MCA agar jangan sekali-kali bermain dengan api agama bagi menakutkan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina terhadap perjuangan PAS.

"PAS adalah sebuah parti politik yang sah dan telah terlibat secara aman di dalam proses demokrasi dan pilihan raya di negara ini sejak tahun 1955,” tegas beliau.

Bufet Ramadan: Jakim perlu siar senarai halal




MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) digesa agar menyiar nama hotel atau penyedia bufet Ramadan yang telah memperolehi sijil halal bagi mengelakkan berlakunya penipuan terhadap umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Umar ketika menghubungi Harakahdaily berkata, penyenaraian itu penting bagi memberi kemudahan kepada umat Islam untuk menentukan tahap kebersihan makanan yang mereka sediakan.

"Kita mahu jaminan dari Jakim terhadap hotel-hotel atau restoran besar yang menawarkan bufet Ramadan dari segi status halalnya.

"Jakim perlu mengeluarkan senarai hotel-hotel yang telah diakui halal dan kita tidak mahu tertipu dengan sijil halal palsu yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha hotel atau restoran besar yang ingin mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan ini," jelasnya.

Rania nama Islam Felixia Yeap, ilham daripada mimpi

Rania nama Islam Felixia Yeap, ilham daripada mimpi
Felixia Yeap menjelaskan dia memilih gabungan dua nama namun hanya mendedahkan satu nama sahaja dahulu

KUALA LUMPUR: Model dan personaliti media Felixia Yeap mendedahkan nama Islam yang bakal dipilih olehnya apabila dia memeluk agama Islam 3 Julai ini ialah Rania.

Ilham nama Rania itu dipilih setelah Felixia mendapat mimpi mengenai namanya dan seterusnya mengkaji makna tersebut sebelum mengambil keputusan untuk menggunakannya.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Felixia ketika dijemput sebagai tetamu jemputan dalam rancangan Apa Kata Malaysia yang dikelolakan oleh Datuk Aznil Nawawi.

Felixia menjelaskan dia memilih gabungan dua nama namun hanya memberitahu Aznil salah satunya adalah ‘Rania’ yang membawa maksud ‘pemimpin yang mempesonakan’.

Soo Wincci berpuasa bersendirian di Taiwan













PETALING JAYA: Penyanyi Soo Wincci yang kini menetap di Tawian memberitahu tindakannya berpuasa pada bulan Ramadan kali ini dipandang sebagai sesuatu yang pelik oleh rakan-rakan berbangsa Cina di negara itu.

Bagaimanapun, Soo Wincci, 28, berkata, ia adalah salah satu perkara yang cuba ditunjukkan kepada rakan-rakannya tentang kelebihan berpuasa yang diamalkan oleh umat Islam setiap kali menjelangnya Ramadan.

"Ini merupakan tahun ketiga saya berpuasa setiap kali bulan Ramadan, namun tahun ini saya berpuasa bersendirian di Taiwan.

“Ramai kawan saya bertanya tentang amalan berpuasa dan kenapa saya berpuasa? Mereka semua pelik, ketika saya menunggu waktu berbuka di sebuah restoran di Taiwan, beberapa pelayan datang bertanya mengapa saya tidak makan sedangkan makanan sudah tersedia.

“Walhal saya sedang menunggu waktu berbuka,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp di sini, Isnin.

Tambah Wincci, cabaran berpuasa tahun ini berbeza terutamanya daripada segi masa di negara itu lebih panjang berbanding di Malaysia. Malah, katanya, jadual kerja dan penggambaran sepanjang bulan ini agak padat.

“Saya kunci jam untuk bersahur pada pukul 3 pagi kerana di sini Subuh pada pukul 3.38 pagi dan waktu berpuasa lebih sejam daripada Malaysia.

“Jika di Malaysia saya ada rakan-rakan Melayu untuk berbuka dan berpuasa, tetapi di sini lebih mencabar kerana masyarakat beragama Islam tidak ramai.

“Jadual saya pula agak padat kerana bakal menjalani penggambaran mini filem antarabangsa dan muzik video pada bulan ini, namun saya yakin saya dapat menjalani puasa ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Soo Wincci turut menolak dakwaan beberapa pihak yang menganggap dia berpuasa kerana sedang bercinta dengan lelaki beragama Islam atau Melayu.

Pada awalnya dia cuba telah berpuasa kerana berjanji dengan peminat-peminat, namun disebabkan kelebihan yang didapati sepanjang berpuasa, dia meneruskan niat untuk terus berpuasa setiap kali Ramadan.

"Ada spekulasi kata saya ada kekasih beragama Islam yang menyebabkan saya berpuasa setiap tahun namun sebenarnya tidak. Pada awalnya saya hanya berjanji dengan peminat-peminat Melayu, namun bila saya lihat banyak kelebihan apabila berpuasa saya teruskan untuk berpuasa setiap kali Ramadan.

“Saya dapati banyak kelebihan terutama daripada segi kesihatan dan mental saya lebih kuat apabila berpuasa,” katanya yang berazam untuk berpuasa penuh selama sebulan.

Saifuddin tinggalkan UM, solidariti dengan bekas pengarah UMcedel yang diarah letak jawatan


OLEH ANISAH SHUKRY
Published: 30 June 2014

Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai felo penyelidik kanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya berkuatkuasa hari ini sebagai bantahan terhadap peletakan jawatan Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman sebagai pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMcedel).
“Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti, saya letak jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM hari ini. Ia berkaitan kes menimpa Dr Redzuan,” kata bekas timbalan menteri pendidikan tinggi itu menerusi akaun Twitter hari ini.
Apabila seorang pengguna Twitter, dengan akaun @johngray22 bertanyakan alasan peletakan jawatan itu, Saifuddin berkata:“Sila baca laporannya di The Malaysian Insider."
Bagaimanapun, cubaan The Malaysian Insider menghubungi Saifuddin untuk mendapatkan penjelasan lanjut masih gagal.

Video Orang Ramai Belasah Peragut Tersebar Di Media Sosial


Diterbitkan: Ahad, 29 Jun 2014 1:34 PM
PETALING JAYA: Sebuah video yang menunjukkan sekumpulan anggota masyarakat memukul seorang peragut dan kemudian merayu supaya dihantar ke balai polis telah tersebar di media sosial.

Video dua bahagian, yang dimuat naik di laman Facebook Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia, menunjukkan seorang lelaki muda dipukul dan disoal oleh sekumpulan lelaki lain kerana lelaki terbabit didakwa menikam muka seorang wanita,

"Berapa umur kau? Berapa lama kau dah buat kerja ini (meragut)?," demikian suara-suara yang dapat didengar dalam video itu.

Menurut keterangan di laman Facebook itu, kejadian itu berlaku dekat Lebuhraya Duke.

29 June 2014

Saya sudah mempunyai nama yang diperoleh melalui mimpi - Felixia Yeap

Oleh Ikram Ismail
Selayang: “Saya sudah mempunyai nama yang diperoleh melalui mimpi dan akan digunakan selepas saya memeluk Islam,” kata bekas model Felixia Yeap, 28, yang bakal memeluk Islam pada Khamis ini.
Menurutnya, dia akan hanya mengumumkan nama barunya pada majlis memeluk agama Islam nanti.
“Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, saya sedikit runsing memikirkan nama Islam saya.

“Bagaimanapun, pada suatu malam, nama itu muncul dalam mimpi dan saya terkejut boleh mengingatinya selepas bangun daripada tidur,” katanya ketika majlis Santai Ramadan Pertamaku di sini, semalam.
Foto
FELIXIA bersama pengunjung di majlis Santai Ramadan Petamaku, semalam.

Yeap berkata, pada mulanya dia menyangka nama berkenaan tidak membawa apa-apa maksud.

“Namun apabila saya memeriksa maksud nama berkenaan, ternyata ianya mempunyai maksud yang baik dan indah,” katanya.

Menurutnya lagi, dia mengimpikan menjadi Muslimah yang baik selepas memeluk Islam.

“Saya mahu masyarakat sekeliling mengambil iktibar kehidupan lampau saya.

“Pada masa yang sama, saya mahu mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat dan sudah tentu mahu berkahwin,” katanya yang mengakui sudah mempunyai calon suami yang bukan daripada kalangan ustaz.

Ditanya mengenai pengalaman berpuasa, Yeap berkata, dia pernah cuba berpuasa pada dua tahun lalu iaitu selama sehari, tetapi tidak merasai keindahan.

“Itupun saya diajak oleh kawan saya, namun pada waktu itu, saya ingatkan minum dibenarkan, jadi saya hanya tidak makan saja.

“Pada tahun ini, saya akan berlatih berpuasa bermula hari ini,” katanya yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Najwa Latif sebagai ikon wanita bertudung.

4 hari memandu kereta dari Buenos Aires ke Sao Paulo semata-mata untuk Piala Dunia.

KUALA LUMPUR: Mahu menonton perlawanan Piala Dunia 2014 di Brazil tetapi wang tidak mencukupi untuk membayar hotel?

Caranya, berkhemah di tepi Pantai Copacabana yang terletak di Rio de Janeiro serta masak di situ.

Peminat bola sepak dari Selatan Amerika yang tidak mampu untuk menyewa hotel kini bertindak tidur di tepi pantai popular itu; ada yang memasang khemah, tidur di dalam van dan ada juga yang tidur di atas pasir sahaja.

Disebabkan harga hotel yang naik memuncak dari AS$200-AS$250 (RM643-RM803) semalam ke AS$700-AS$800 (RM2,249-RM2,571) satu malam, warga Argentina, Colombia, Chile serta Ecuador tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa Brazil akan bahaya bermalam di tempat terbuka.

world cup, piala dunia, copacabana
Kaki bola tidur di pantai Copacabana di Rio de Janeiro, Brazil, setelah harga hotel naik melonjak sempena Piala Dunia 2014. - AP Photo/Wong Maye-E

Memetik laporan portal Daily Mail, seorang pengunjung yang bermalam di tepi Pantai Copacabana, Emmanuel Estrada, 29 berkata, beliau mengambil masa selama empat hari memandu keretanya dari Buenos Aires ke Sao Paulo semata-mata untuk menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia.

“Kami akan terus berada di sini sehingga Argentina menang Piala Dunia, dan semestinya beberapa hari selepas itu juga,” kata Estrada yang bekerja sebagai tukang paip di Buenos Aires.

Sementara itu, seorang mekanik dari Chile, Fabian Alvarez yang telah memandu sejauh 5,000 kilometer pula berkata beliau membuat keputusan untuk tidur di dalam van selepas gagal mencari hotel murah di Rio.

Menurut Fabian, beliau bercadang untuk berbelanja sebanyak satu juta peso Chile (RM5,749) untuk sepanjang perjalanannya di sana termasuk petrol, makanan serta tiket menonton perlawanan Piala Dunia.

Anwar Templak Pemimpin Pakatan, Jawatan MB Bukan Milik Peribadi



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak pemimpin Pakatan Rakyat berhubung kontroversi jawatan Menteri Besar Selangor, dengan menegaskan ia bukan agenda atau milik peribadi mana-mana pemimpin. 

Ketua pembangkang itu berkata keputusan untuk melantik menteri besar dibuat oleh PKR dan Pakatan Rakyat dengan mendapat perkenan daripada Sultan. 

"Saya merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat baru-baru ini berkenaan kedudukan Menteri Besar Selangor. Saya menegaskan bahawa semua Adun dan pimpinan parti harus menghormati peraturan dan tatasusilab berkaitan isu ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Kedudukan Menteri Besar bukan agenda atau milik peribadi tetapi merupakan keputusan bersama dengan mendapat perkenan Sultan," katanya.

Saga BLM Dijadikan Sebagai Bom Kereta Di Syria


Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 9:08 AM
Militan menggunakan Proton Saga BLM sebagai bom kereta.

PETALING JAYA: Sebuah kereta Proton digunakan sebagai bom kereta seperti yang dipaparkan dalam rakaman video di Syria.

Paparan video selama 3 minit 3saat itu dimuat turun di laman You Tube (http://www.youtube.com/watch?v=xf-i9vn68-o) dengan menyaksikan seorang lelaki sedang menyiapkan empat bahan peranti letupan (IED) di bahagian belakang dalam Proton Saga BLM tersebut.

IED itu dipasang bagi kawalan letupan dan kereta itu juga di ubahsuai untuk bergerak secara kawalan.

Lelaki di dalam video tersebut memandu ke arah jalan sebelum membiarkan kereta itu bergerak secara kawalan dan sejurus itu letupan besar berlaku.

Lokasi sebenar kejadian ini di salah satu tempat di Syria yang berlaku konflik sejak 2011.

Proton Saga BLM telah dilancarkan pada tahun 2008 dan Proton turut dijual ke Syria sejak tahun 2001.

"Ia tidak menunjuk Proton digunakan secara sengaja. Anggota militan dengan mudah boleh menggunakan mana-mana kereta. Mereka tidak perlu menggunakan Proton," jelas satu sumber.

Bagaimanapun, sumber tersebut berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan militan cuba mencemarkan nama Malaysia dengan menggunakan Proton Saga.- mStar

28 June 2014

Zahid Hamidi - Hadiah peninggalan Abdullah Badawi yang tiada 'class'


Seorang lagi pak menteri menyerlahkan kejahilannya
Sekiranya anda menganggap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seorang yang tidak ada 'class', suka menghina dan jahil, salahkanlah Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Karier politik beliau pernah terkubur selepas meletak jawatan Ketua Pemuda Umno, malah beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
Kepada mereka yang lupa sejarah Zahid, beliaulah yang menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad atas tuduhan kronisme dan nepotisme.
Rancangan itu tidak jadi, dan Dr Mahathir menelanjangkan sifat talam dua muka Zahid dengan membongkar bagaimana Zahid telah memperkayakan diri menerusi kronisme. Dari segi politik, Zahid terkubur, sehinggalah Abdullah, selepas mengambil alih dari Dr Mahathir, memberikan beliau nafas baru dalam Umno dan kerajaan.
Yang selainnya tinggal sejarah. Menyedihkan. Zahid kemudiannya bangkit semula dan kini merupakan Menteri Dalam Negeri. Sesuatu yang ironis, kerana orang yang dituduh memukul kekasih anak perempuannya kini ditugaskan menjaga keamanan. Pertuturannya umpama samseng; tidak berupaya membezakan dirinya sebagai orang Umno dan Menteri Dalam Negeri, dan ia menjadi peringatan betapa ramai pak menteri dalam kabinet XXL Najib sekarang terdiri daripada individu yang tidak cekap.

Pua dan Liu Perlu Diajar Mengenai Industri Air - MB Selangor



Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 5:06 PM

Abdul Khalid Ibrahim.

PULAU INDAH: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam dua pemimpin DAP yang menyalahkan kerajaan negeri terhadap gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa daerah di negeri itu. 
Tony Pua

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan  Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Pengerusi DAP Negeri, Tony Pua dan bekas Exco Kerajaan negeri, Ronnie Liu yang menuduh kerajaan negeri dan Khalid yang sepatutnya bertanggungjawab dalam isu tersebut.  

Rony Liu

Sebaliknya Khalid menegaskan kedua-dua pemimpin DAP itu perlu diajar mengenai industri air di Selangor. 

Beliau turut mengulangi kenyataan bahawa adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan negeri dalam isu tersebut, malah Khalid yang agak terkejut dengan kenyataan dua pemimpin kanan DAP itu berkata mereka gagal memahami sejarah penstrukturuan air yang telah dilaksanakan. 

MB: 'Saya tak akan letak jawatan walaupun jika kalah'



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tidak ada keperluan untuk beliau meletakkan jawatan walaupun jika beliau kalah dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR.

Ini ekoran kekalahannya sebagai ketua cabang PKR Kuala Selangor, tetapi beliau sedang mencabar keputusan tersebut.

Katanya, tidak ada klausa yang mengatakan jika gagal dalam pemilihan parti, "anda perlu meletakkan jawatan sebagai menteri Besar".

Antara bintang Piala Dunia yang akan berpuasa Ramadan dalam aksi 16 terbaik




Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 2:04 PM

Pemain Jerman, Mesut Ozil (kiri) dan Karim Benzema (penyerang Perancis) akan bermain dalam keadaan berpuasa bermula saingan kalah mati Piala Dunia.

KEMPEN Piala Dunia kini memasuki saingan kalah mati yang akan memilih lapan  daripada 16 skuad terbaik dari kumpulan masing-masing.
Bagi masyarakat Islam dari seluruh dunia juga, saingan kalah mati bermula apabila mereka mula berpuasa selama sebulan sempena Ramadan.
Sepanjang tempoh matahari terbit, masyarakat Islam tidak akan minum atau makan, sebaliknya akan menumpu perhatian kepada ibadat wajib dan sunat.
Perkara sama juga akan dilalui sebahagian pemain yang teribat dalam saingan Piala Dunia.
IKLAN
Antaranya ialah penyerang Perancis, Karim Benzema dan bintang Jerman, Mesut Ozil.

Belum Ada Bukti 15 Rakyat M'sia Terbunuh Berperang Di Syria







TAIPING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menyiasat dakwaan penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di Syria, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata dakwaan terdapat beberapa rakyat Malaysia terbunuh di Syria dalam keganasan dan aktiviti jihad dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kumpulan yang berpecah daripada Al-Qaeda, masih tidak dapat dibuktikan oleh mana-mana pihak.

Lotfi telah meletak jawatannya dalam PAS - Lebih 100 rakyat Malaysia ke Syria

Mohd Lotfi Arifin, rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan bersenjata di Syria, mendakwa beliau telah meletakkan semua jawatannya dalam PAS sejak 19 April 2014 sebelum dipecat oleh parti itu.
"Sebenarnya saya buat surat letak jawatan sebelum PAS Pusat buat keputusan demi kestabilan PAS," kata Lotfi (gambar) dalam posting di Facebooknya 26 Jun lepas.
Posting itu dipercayai dibuat beliau selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengumumkan beliau dipecat dari PAS pada 11 Mei 2014 lalu.
Mustafa dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan  memecat Lotfi dari menjadi ahli PAS setelah mendapat tahu dan kemudiannya mengesahkan beliau ke Syria bagi menyertai perjuangan bersenjata di sana.
Ia berikutan laporan The Star bahawa AJK Dewan Ulama PAS antara yang menyertai perjuangan bersenjata di Syria.

Kepala Lembu Di Hadapan Rumah Rayer


Diterbitkan: Sabtu, 28 Jun 2014 10:43 AM

GEORGE TOWN: Rangka kepala lembu yang masih berdarah ditemui di rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima R.S.N Rayer awal pagi Sabtu.

Kepala lembu itu ditemui isteri Rayer sekitar pukul 7 pagi hadapan pagar rumahnya.

Rayer memuat naik gambar tersebut di laman Facebook pada pukul 8 pagi dan menulis:"Pagi ini saya terjumpa kepala lembu di hadapan pintu pagar rumah saya..."

Rayer sebelum ini menjadi perhatian selepas menimbulkan kontroversi dengan melabelkan UMNO 'celaka' ketika persidangan DUN pada 20 Mei lalu.

Pada hari berikutnya sekumpulan pembantah merempuh masuk bangunan untuk mencari Rayer yang tidak ada di situ.

Felixia peluk Islam 5 Ramadan ini




Setelah hampir lima bulan mendalami agama Islam, bekas model Playboy Felixia Yeap secara rasmi mengumumkan hasratnya memeluk Islam pada 5 Ramadan, atau 3 Julai, yang akan datang.
Jelitawan berusia 28 tahun itu berkata tarikh tersebut dipilih kerana selain jatuh pada hari lahirnya, ia juga merupakan tarikh kegemaran Rasulullah.
"‎Saya akan memeluk agama Islam pada 5 Ramadan, pada Khamis ini. Saya memilih tarikh  hari jadi saya, hari kegemaran nabi, maka saya berharap ia menjadi hari paling bersejarah dan diingati dalam hidup saya," katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin di Program Semarak Ramadan di Shah Alam, malam tadi.
‎Sebelum ini, Felixia mengejutkan orang ramai dengan keputusannya memakai tudung walaupun belum memeluk agama Islam.
Dalam pengakuannya secara eksklusif kepada The Malaysian Insider tahun lepas, beliau mengakui begitu tertarik dengan pemakaian berlandaskan ajaran Islam.
Anak kelahiran Ipoh selepas itu mengakui akan hasratnya memeluk Islam namun masih belum memutuskan waktu sesuai dan mahu mendalami terlebih dahulu ajaran agama.
Felixia ketika program malam tadi turut mengakui perubahan dirinya yang berhijab kini menyebabkan disisih oleh rakan-rakannya.
"Bezanya adalah kawan-kawan saya dulu kebanyakan lari menyisihkan saya. Mereka menyangka saya berhijab kerana ingin menjadi Melayu tetapi sebenarnya saya tertarik dengan Islam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, keluarganya terutama ibunya begitu menyokong perubahan positif dirinya.
Tambahnya setelah hatinya terbuka mendalami Islam, beliau merasakan perubahan kerana meskipun ditimpa pelbagai dugaan, beliau yakin Allah akan melindunginya.
Bezanya adalah kawan-kawan saya dulu kebanyakan lari menyisihkan saya. Mereka menyangka saya berhijab kerana ingin menjadi Melayu tetapi sebenarnya saya tertarik dengan Islam. – Felixia Yeap, bekas model Playboy.

27 June 2014

Kabinet Najib lebih besar dari Korea Utara & Uganda, membazir wang rakyat

Oleh: Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 27 JUN: Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk A. Kadir Jasin, berkata kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih besar dari kabinet Kerajaan Korea Utara dan Uganda.
Beliau berkata penambahan bilangan anggota kabinet Najib kepada 35 orang mungkin berupa rekod nasional.
BN-umno-memerintah-grafik“Satu laporan 2011, Uganda mempunyai kabinet ketiga terbesar di dunia iaitu 71 orang anggota. Kalah kepada Korea Utara dan Kenya.
“Tetapi apabila saya menghitung anggota Kabinet Korea Utara dalam Wikipedia, saya dapati hanya ada 34 orang dan Uganda 30.
“Kalau betul laporan Wikipedia itu, maka kabinet Najib lebih besar daripada kabinet Korea Utara dan Uganda,” tulis beliau diblognya.
Kadir berkata dengan bilangan jemaah kabinet yang ramai, rakyat berhak mendapat faedah lebih banyak dan menaruh harapan lebih tinggi.
“Oleh sebab Perdana Menteri suka (benda yang) besar maka kita pun berhak untuk berharapan besar juga. Jadi harapan kita adalah kabinet XXL Najib akan membawa manfaat XXL kepada rakyat jelata.
“Rugi XXL lah kita kalau kabinet XXL itu sekadar meramaikan majlis dan menghabiskan beras sahaja,” katanya.
Kadir berkata pendekatan yang digunakan Najib sangat berbeza dengan almarhum ayahandanya yang lebih mementingkan kebajikan rakyat.
Katanya, Najib lebih sukakan sambutan besar-besaran walaupun melawat ke kawasan parlimennya sendiri.
“Nampaknya Perdana Menteri kita ini suka besar. Kalau beliau melawat kampung dan pekan, beliau khabarnya mahu sambutan besar-besaran.
“Tun Abdul Razak Hussein bertongkat melawat kampung, memanjat tiang bulat rumah rakyat miskin untuk mencari penyelesaian dan membawa pembangunan. Tidak ada sambutan raksasa, tidak ada siaran langsung,” tulisnya.
EZY

Zul Nordin, jangan undang 13 Mei


Bekas pemimpin NGO Pendesak Melayu Melayu Zulkifli Nordin memberi amaran keras kepada Kristian "cauvinis dan ekstremis" supaya tidak menguji kesabaran umat Islam.

Menulis artikel berjudul "13-Mei 2.0?" dalam blognya, beliau berkata umat Islam diajar bersabar dan bertolak ansur, tetapi hanya kepada mereka yang bertamadun dan mempunyai sikap hormat- menghormati.

“Kalau ini bukan kurang ajar dan biadab, saya tidak tahu nak bagi label apalagi kepada perangai pelampau keagamaan dan extremis liberalis ini.

“Dan Islam mengajar kami adalah diperbolehkan untuk menentang kafir harbi dan kaum munafik ini dengan apa sahaja cara yang bersesuaian dan dibenarkan Islam dan undang-undang negara ini!” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa jika pihak Kristian yang melampau tidak menghentikan kenyataan berunsur hasutan dan provokatif mereka, pastinya “kamu hanya sekadar mengundang supaya peristiwa 13 Mei”.

Dr Maza nafi sebar gambar bas mewah Sultan Johor di Twitter

  • Dr Maza nafi sebar gambar bas di Twitter
 1 / 1 
SHAH ALAM – Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menafikan beliau memuat naik gambar sebuah bas mewah yang didakwa digunakan untuk Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 di laman mikro Twitter.

“Penyebar gambar inilah yang melakukan fitnah. Ini gambar yang tidak sah,” katanya yang dipetik dari Twitternya, hari ini.

Menurut Mohd Asri lagi, individu yang menyebarkan gambar tersebut didakwa menggunakan akaun palsu dengan nama dan gambar sama dengan akaun sebenar.

Gambar yang dimuat naik tersebut telah menjadi viral di laman media sosial dan menimbulkan persepsi kurang selesa di kalangan rakyat terutama di Johor.

Rafizi cabar Muhyiddin dedah perjanjian konsesi UiTM


Saya rasa agak terusik dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri bahawa saya tidak faham mengenai konsep penswastaan atau “private finance initiatives” yang menurut beliau banyak mendatangkan kebaikan kepada UiTM.
Malah, beliau memaklumkan bahawa kabinet telah menugaskan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memberi penerangan mengenai konsep PFI ini.
rafizi_HKSaya rasa Tan Sri Muhyiddin dan keseluruhan kabinet tidak faham dengan kritikan dan isu yang saya bawa. Saya bukanlah menentang bulat-bulat kaedah PFI untuk membiayai projek kerajaan jika ia dibuat secara telus dan menguntungkan rakyat.
Saya mempertikaikan perkara-perkara berikut:
1. Kenapa penswastaan ini dibuat tanpa tender terbuka dan secara rundingan terus sehingga kesemua keenam-enam kampus UiTM diswastakan kepada syarikat milik pimpinan Umno yang kemudiannya melantik subkontraktor untuk mengendalikan projek?
2. Kenapa sewa dan bayaran tahunan yang terpaksa ditanggung oleh UiTM ini sehingga 5 kali ganda lebih mahal dari kos membina sendiri UiTM ini?
3. Berapakah margin keuntungan yang diberikan kepada syarikat pemegang konsesi?
Oleh yang demikian, untuk memastikan saya dan rakyat kebiasaan lain faham dan boleh menilai kewajaran Barisan Nasional menswastakan kampus UiTM melalui konsep PFI ini, saya menyeru supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perjanjian konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM ini kepada umum.
Apabila perjanjian konsesi itu dapat diteliti oleh umum, barulah saya dan rakyat boleh memastikan bahawa tidak ada unsur keuntungan berlipat kali ganda yang diberikan kepada pemegang konsesi seperti mana yang berlaku dalam perjanjian-perjanjian konsesi yang lepas melibatkan penswastaan air dan lebuhraya.
Jika Tan Sri Muhyiddin tidak bersedia untuk mendedahkan perjanjian konsesi itu, sampai bila-bila saya dan rakyat tidak akan faham kenapa Kerajaan Persekutuan mengikat perjanjian yang kosnya nanti akan membebankan UiTM, sedangkan ia lebih murah untuk membina sendiri kampus-kampus itu.
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=62049

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive