08 June 2010

DSAI mengadap panel disiplin Parlimen

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi menjawab dakwaan beliau bahawa firma khidmat runding yang dilantik pentadbiran Najib ada hubungan dengan rejim Yahudi.

Firma itu didakwa merupakan nadi kepada konsep 1 Malaysia, gagasan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, dan 1 Israel.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dianggotai wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat boleh mengesyorkan tindakan ‘disiplin’ ke atas Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika didapati bersalah beliau boleh digantung dari menghadiri sesi Dewan Rakyat.

Semalam, Anwar meminta agar panel itu mengadakan sesi pendengaran secara terbuka berbanding amalan semasa secara tertutup.

Selain itu, Anwar juga meminta agar bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenavasan mewakili beliau ketika memberikan keterangan.

Dengan diiringi beberapa wakil rakyat, antaranya Azmin Ali, Chua Tian Chang, Gobind Singh Deo dan Khalid Samad, Anwar kelihatan memasuki bilik Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bersidang, di bangunan Parlimen, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Dewan Rakyat meluluskan usul untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan dasar gagasan 1 Malaysia dengan APCO Worldwide, sebuah syarikat perhubungan awam dan strategi yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel, akhir April lalu.

Sebelum ini, Najib telah menyifatkan keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung konsep 1 Malaysia dan Apco Worldwide membuktikan BN sentiasa bersikap adil walaupun dengan pembangkang.

Najib berkata BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat dengan terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar, tetapi BN mengambil jalan untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membela diri. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive