31 August 2011

British adalah penjajah - semua yang menentang penjajah adalah dianggap 'Hero'

PAS: Fakta sejarah perlu dikaji semula, tak timbul isu sokong komunis
Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-54 dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula dikritik sesetengah pihak berhubung satu ceramah baru-baru ini, parti Islam itu menegaskan, negara perlu mentafsir semula fakta sejarah agar semua hero diberi penghormatan sewajarnya.
Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, soal menyokong komunis tidak timbul jika “kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.”

“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata Tuan Ibrahim.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan berkata, pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Mohamad dan menegaskan akan mengambil tindakan saman ke atas Utusan Malaysia atas alasan telah memutarbelitkan kandungan ceramahnya.

Polis pula berkata mahu menyiasat Mohamad kerana mengeluarkan kenyataan mengemparkan rakyat.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menambah, isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas iaitu “apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah ditafsirkan.”

Kata beliau, kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

“Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya.

“Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hari ini, genap 54 tahun negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun sambutan akan diadakan pada 16 September ini sempena Hari Malaysia.

Tuan Ibrahim menambah, disebabkan pada zaman British menjajah negara, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka.

“Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, maka kini timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PKM (Parti Komunis Malaya) dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British,” katanya lagi.

Justeru kata Tuan Ibrahim, atas penilaian itu, “kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.”

“Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tambah beliau.

Beliau seterusya menyoal, jika kedua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya?

“Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya,” kata Tuan Ibrahim.

Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

Bagaimanapun katanya, yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero.

Pada masa yang sama kata Tuan Ibrahim, kedudukan dan jasa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?

“Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun,” katanya lagi.

Namun demikian, tambah beliau, “kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya menghalau penjajah.”

“Namun apa yang pasti, menghalau penjajah merupakan ‘common goal’ yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim seterusnya bertanya, “pada 1950 adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara?”

“Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu,” jelas beliau.

“Selepas merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan.

“Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

“Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi satu-satu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri selepas menghalau penjajah,” katanya sambil menambah, sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British.

“Di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British,” kata beliau lagi.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

“Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Profesor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” kata beliau lagi. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive