12 March 2012

'Ayam muda' hanya RM40 di Batu Pahat

BATU PAHAT – Jika dilihat dari luar, hotel bajet ini sama sahaja seperti hotel murah lain, namun tidak ramai yang tahu ia menyediakan 'perkhidmatan' istimewa di belakang tabir.

Di sinilah kebanyakan anak muda tempatan dan warga asing berhidung belang singgah untuk mendapatkan layanan 'ayam muda' cantik yang berasal dari Sabah.

Namun, khidmat ini berkubur kelmarin apabila premis itu diserbu Jabatan Agama Islam Batu Pahat dengan kerjasama beberapa penguatkuasa daerah Johor Bahru, Kluang, Pontian dan Muar.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, khidmat pelacur di hotel bajet berkenaan menjadi tumpuan kerana bayaran yang dikenakan murah iaitu sekitar RM40.


“Semasa serbuan, terdapat tujuh pelacur yang sedang bersiap-siap menunggu pelanggan mereka. Dua daripadanya sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran kami. Daripada tujuh pelacur terbabit, lima daripadanya berasal dari Sabah dan dua lagi merupakan pelacur berbangsa Cina, dipercayai warga tempatan yang aktif menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Saiful Ariffin, pada mulanya kesemua pelacur terbabit tidak mengaku menjalankan kegiatan berkenaan, tetapi setelah didesak selain beberapa kondom dijumpai, barulah mereka memberitahu perkara sebenar.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan ini merupakan satu operasi khas secara mengejut, bertujuan mencegah kegiatan perjudian dan juga pelacuran di Batu Pahat.

“Dalam operasi berkenaan, turut disoal siasat ialah dua remaja lelaki berumur 20 tahun yang dipercayai mahu mendapatkan perkhidmatan di situ. Keterangan dua remaja berkenaan direkod seterusnya diberikan sesi kaunseling dan juga nasihat bertujuan memberikan kesedaran," katanya.

Saiful Ariffin berkata, bagaimanapun kesemua pelacur berkenaan dilepaskan selepas butir diri direkodkan kerana mereka bukan beragama Islam.

“Tindakan selanjutnya terhadap hotel pula kami serahkan kepada pihak polis,” katanya. - Sinar

1 comment:

Anonymous said...

sekarang pun masih beroperasi lagi kat tempat tu.. harap tindakan tegas di ambil.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive