17 February 2013

PRU 13 - Dr Tan Kee Kwong bakal bertanding di Wangsa Maju mewakili PKR


February 17, 2013

Dr Tan bertemu pengundi pada "walkabout" beliau. — Gambar Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 17 Feb — Bekas timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong, dijangka bakal  mengisi kerusi P116 Wangsa Maju pada Pilihan Raya 2013 selepas bekas ahli parlimen PKR, Wee Choo  Keong, keluar daripada parti tersebut pada 2010.
Dr Tan telah giat berkempen dan bertemu para pengundi selama dua tahun selepas kepimpinan tertinggi PKR memberinya tanggungjawab untuk memimpin cabang Wangsa Maju.
Semasa ditemui The Malaysian Insider dalam satu program “walkabout” penghujung tahun lalu, Dr Tan berkata beliau mula selesa dan  bertambah yakin selepas dua tahun mengadakan aktiviti dan bertemu rakyat di Wangsa Maju.
“Selepas dua tahun, hasil daripada kempen ‘walkabout’ dan pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan mula menampakkan  kesan positif,” kata bekas ahli parlimen Gerakan itu.

Dr Tan: Mengakui tugas sukar.
Dr Tan juga mengakui tugas sukar adalah apabila rakyat di kawasan tersebut mempersoalkan kesetiaannya bersama PKR dan apakah jaminan insiden keluar parti tidak akan berulang lagi selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
“Kali pertama disini, hampir semua mereka yang ditemui bertanya kepada saya apakah jaminan saya kepada mereka jika menang  pilihan raya,” tambah Dr Tan yang pernah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan salah guna kuasa dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Dalam pada itu, dua pemimpin tertinggi PKR yang dihubungi oleh The Malaysian Insidermengakui Dr Tan telah diberikan  tanggungjawab untuk mengendalikan cabang kawasan tersebut sejak ketiadaan Wee.
“Ya, (Dr) Tan telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga cabang Wangsa Maju sejak Wee keluar parti. Tapi kemungkinan dia  bertanding disitu ada,” kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Beliau diberikan tanggungjawab untuk memulihkan imej parti dan menguatkan jentera parti. Tetapi keputusan muktamad masih  lagi belum diputuskan.”

Kebanyakkan kediaman campuran pangsapuri kos sederhana rendah…
Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad turut senada dengan Saifuddin yang menyatakan keputusan muktamad masih belum diputuskan dikawasan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan Dr Tan akan menjadi calon di situ.
“Keputusan penuh masih belum dibuat, tapi itulah... kemungkinan (Dr) Tan akan bertanding disitu,” terang pengarah komunikasi PKR itu lagi.
Kerusi P116 dilihat antara kerusi panas dalam PRU yang dijangkakan akan diadakan tidak lama lagi, pada tahun 2008 PKR berjaya  merampas kerusi parlimen tersebut daripada MCA tetapi dengan majoriti yang sangat tipis iaitu 150 majoriti.
Bekas calon PKR, Wee mengalahkan calon daripada BN, Yew Teong Look dengan memperolehi 19,637 undi berbanding lawannya  memperolehi 19,487 undi.
“Beliau (Dr Tan) hampir setiap minggu turun padang bertemu penduduk disini,” kata Mohammad Hamdi Mohd Said, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wangsa Maju.
“Selepas ketiadaan Wee kawasan cabang disini agak kelam-kabut tetapi apabila Tan mula bekerja disini, keadaan sudah berubah.
“(Dr) Tan adalah seorang ahli politik tulen dan beliau tidak segan turun padang bertemu rakyat di sini yang dahulunya jarang dilakukan oleh Wee,” kata Mohammad Hamdi lagi.

… Dan pangsapuri mewah (kondominium).
Mohammad Hamdi sebelum ini merupakan antara tonggak utama jentera yang bekerja semasa kemenangan Wee pada 2008 lalu.
“Perwatakan antara Dr Tan ini dan calon lama dulu sama sekali berbeza kerana pada 2008 dahulu kami telah melakukan kesilapan  meletak calon ‘payung terjun’,” terang Mohammad Hamdi.
Pengundi kaum Melayu merupakan yang terbesar di sini dengan 35, 258 (53.28 peratus) orang, diikuti kaum Cina 24, 000 (36.27  peratus) dan India dengan 5,741 (8.68 peratus).
Parlimen Wangsa Maju mempunyai pengundi paling ramai yang berusia antara 30-49 tahun dengan 45.68 peratus (30, 230) dan  diikuti golongan pesara yang berusia antara 50-69 tahun dengan 31.66 peratus (20, 953).
Kawasan bandar merupakan kerusi yang sengit untuk dimenangi oleh mana-mana parti, memandangkan perkembangan teknologi dan  penyaluran maklumat yang cepat sampai kepada penduduk di sekitar.
Kebanyakkan kediaman di Wangsa Maju terdiri daripada unit-unit penginapan berbentuk pangsapuri; pangsapuri kos sederhana  rendah dan pangsapuri mewah (kondominium).

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive