29 March 2011

Azmin hantar surat tuntutan minta polis mohon maaf

Oleh G Manimaran March 29, 2011
KUALA LUMPUR, 29 Mac — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menuntut pihak polis meminta maaf secara terbuka kerana mengganggu majlis pelancaran “DNA”, yang diadakan di pusat khidmat Ahli Parlimen Gombak Jumaat lalu, yang berakhir dengan kekecohan membabitkan penyokong Pakatan Rakyat dan polis.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengemukakan empat tuntutan termasuk permohonan maaf. Salinan surat tuntutan beliau turut diedarkan kepada media lewat semalam.

Surat itu dikeluarkan beberapa jam selepas Azmin yang ditemui wartawan di Shah Alam pagi semalam berkata beliau mahu polis memohon maaf ekoran insiden tersebut.

Tiga tuntutan lain yang disenaraikan dalam surat itu ialah membekalkan nama-nama dan nombor polis kesemua anggota polis yang terlibat dalam serbuan minggu lalu.

Azmin, menurut surat yang ditandatangani peguamnya N Surendran itu, mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi akujanji bertulis tidak akan mengulangi tindakan yang menyalahi undang-undang seperti itu.

Surat tuntutan itu dialamatkan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Daerah Ampang ACP Amiruddin Jamaluddin.

“Kami diarahkan pada malam 25 Mac 2011, suatu ceramah politik telah diadakan di pusat khidmat Parlimen Gombak. Pihak polis telah secara mala fide, menyalahi undang-undang dan tanpa alasan munasabah menyerbu, mengganggu dan menamatkon ceramah tersebut.

“Adalah dianggarkan lebih 50 anggota polis termasuk FRU terlibat dalam tindakan serbuan ini,” kata Surendran lagi.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata, pihak polis juga menggunakan “kekerasan yang keterlaluan” di mana Azmin ditolak dan terjatuh pada masa tersebut. “Beberapa orang yang hadir juga telah ditangkap oleh polis secara salah,” katanya.

Malah kata beliau, beberapa kesalahan serius telah dilakukan oleh polis pada malam Jumaat lalu termasuk pencerobohan jenayah, intimidasi jenayah, serangan dan gangguan yang menyalahi undang-undang.

“Kami juga diarahkan untuk menyatakan bahawa tindakan mengganggu dan menamatkan ceramah pada ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap adalah satu tindakan mala fide dan bermotifkan politik,” kata Surendran lagi.

Azmin telah diberikan notis hadir di ibu pejabat polis daerah Ampang tengah malam kelmarin berhubung insiden tersebut. Beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa diminta hadir pagi semalam, tetapi telah meminta menangguhkannya kerana menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive