Pihak keselamatan memperketatkan kawalan keselamatan di zon merah susulan serangan ofensif yang dilancar ke atas penceroboh bersenjata di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo di Lahad Datu hari ini.
  
Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan meletakkan zon penampan bagi membezakan kawasan perang dan ruangan untuk orang awam di laluan masuk ke Kampung Tanduo, Labian dan Tanjung Batu yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan terdiri daripada tentera dan polis. 
  
Kawasan itu menjadi zon larangan masuk bagi orang awam dan pihak tidak berkaitan.
  
Sementara itu, masyarakat setempat termasuk di kawasan berjiran seperti Felda Sahabat 16 pula mengambil langkah keselamatan dengan berkurung di dalam rumah.
  
Tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu, kira-kira 130 kilometer dari kawasan pencerobohan kumpulan bersenjata terbabit, mendapati keadaan seperti biasa dan orang ramai masih keluar dengan urusan masing-masing.
  
Walaupun masih banyak premis perniagaan ditutup, operasi beberapa kedai runcit, kedai kasut dan kedai telekomunikasi di Bandar Sri Perdana berjalan seperti biasa.
  
Awal pagi ini pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif dari udara dan darat ke atas penceroboh yang menjadikan Kampung Tanduo sebagai kubu mereka sejak 9 Februari lepas.
  
Serangan itu dilancar selepas kumpulan terbabit tetap enggan menyerah diri sekalipun telah diminta berbuat demikian oleh pasukan keselamatan.
  
Sehingga kini, lapan anggota pasukan Polis Diraja Malaysia terkorban ketika mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman kumpulan penceroboh terbabit yang mendakwa mereka 'Tentera Sulu'.

Bernama


Tempur Di Kampung Tanduo Dilancarkan Sepenuhnya
KG TANDUO: Pertempuran darat dipercayai berlaku di kampung Tanduo.
Tembakan meriam dihentikan dan jet pejuang dipercayai telah melakukan tugas mereka.
Tiada letupan didengari lagi.
Jets tidak dilihat terbang melalui kampung itu yang berlakunya serangan tembakan pada sejak pukul 7 pagi.
Butiran bilangan mangsa di kalangan anggota kumpulan bersenjata Sulu, yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, dan pasukan keselamatan tidak diketahui.
Bagaimanapun, ambulans dari Tawau dan Lahad Datu telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dilihat menuju keluar.
Sebuah helikopter Nuri turut dilihat membawa tentera dari Cenderawasih kepada barisan hadapan di kampung Tanduo.
Persisiran kampung Tanduo tenang apabila pihak berkuasa maritim dan tentera laut berada di situ melakukan pemantauan terhadap kemungkinan serangan balas dari kumpulan bersenjata di selatan Filipina yang mengancam untuk melakukan serangan di bandar pantai timur Sabah sekiranya kampung Tanduo diserang.
Walaupun terdapat laporan penceroboh dilihat muncul dari Kinabatangan dan kawasan-kawasan lain, polis mengisytiharkan keadaan di seluruh Sabah kini terkawal.