03 March 2013

SEMPORNA : Polis dan ATM sedang menyediakan perincian sebelum mengambil tindakan drastik


LAHAD DATU: Polis mengesahkan seorang lelaki bersenjata M16 yang maut dibelasah penduduk Kampung Senallang Lama, Semporna adalah seorang daripada anggota kumpulan penceroboh bersenjata yang menyelinap masuk ke negara ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata siasatan polis mendapati penceroboh itu merupakan seorang lelaki berbangsa Sulu dan berumur 60-an.
Lelaki itu yang turut membawa pelancar roket menyelinap masuk melalui jalan pantai ke Kampung Senallang Lama kira-kira pukul 5 pagi, katanya pada sidang akhbar di Residental Falda Sahabat kira-kira 30 kilometer dari sini, Ahad.
Beliau berkata penceroboh itu telah mengarahkan kira-kira 80 penduduk kampung berkenaan untuk keluar berkumpul di satu kawasan lapang berhampiran sebuah surau dan menjadikan mereka tebusan. "Ekoran itu, 20 pemuda kampung telah bertindak dengan menyerang dan menangkap lelaki itu sebelum memukulnya hingga mati.
 "Pada saya, tindakan itu walaupun dari segi undang-undang nampak salah, tetapi kita perlu ingat mereka dianggap tawanan. Mereka mengambil tindakan balas untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, Hamza berkata polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia sedang menyediakan perincian akhir sebelum mengambil tindakan drastik terhadap kumpulan penceroboh yang masih enggan menyerah diri.
Beliau berkata walaupun pihaknya sudah menjatuhkan risalah tapi mereka masihenggan menyerah diri.
"Setakat ini tiga anggota kumpulan penceroboh itu ditahan ketika cuba keluar dari kawasan kawalan di kampung Tanduo. Dua daripada mereka ditahan semalam dan seorang lagi ditahan pagi ini," katanya.
Beliau berkata tiga lelaki itu adalah anggota kumpulan berkenaan yang pertama ditahan oleh pasukan keselamatan selepas mereka menceroboh kampung itu yang kini masuk hari ke-20.
Hamza turut mengulangi ingatannya kepada orang ramai khususnya penduduk negeri ini supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin tanpa pengesahan daripada sumber rasmi. -BERNAMA


Rakyat Sabah Puji Keberanian Penduduk Kg Senallang Lama, Semporna
KUALA LUMPUR: Rakyat Sabah yang kini menetap di ibu negara mengikuti dengan penuh debaran setiap perkembangan terbaru berhubung kekejaman penceroboh Sulu di wilayah Lahad Datu dan Semporna ketika ini.
Mereka turut memuji keberanian penduduk sebuah kampung Semporna kerana berjaya menumbangkan seorang penceroboh yang sebelum itu mengancam nyawa penduduk dengan senjata M-16 dan pelancar roket.
Dalam insiden pukul 7 pagi, lelaki berpakaian hitam dalam lingkungan 60 tahun melepaskan beberapa das tembakan sebelum mengarahkan penduduk berkumpul di kawasan lapang. Ketika lelaki itu alpa, beberapa penduduk menerkam dan membelasahnya hingga mati.
Ainol Marantin, 28, pekerja swasta yang menetap di Kepong berkata kejadian di Semporna itu bersifat mempertahankan tanah air daripada penceroboh.
"Sekiranya saya di sana pun saya akan melakukan perkara sama kerana kita berhak mempertahankan kampung kita dari diceroboh. Itu adalah kesatuan hati penduduk kampung kerana ia mungkin terkesan daripada isu yang berlaku di Lahad Datu," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.
Ainol yang berasal dari Tamparuli, Sabah berkata kawalan keselamatan di setiap sempadan negara perlu dipertingkatkan selepas berlakunya insiden yang menggugat kedaulatan negara di Lahad Datu dan Semporna.
"Setiap sempadan perlu diletakkan sekurang-kurangnya dua pos kawalan pasukan keselamatan supaya isu pencerobohan bersenjata tidak berulang lagi yang dilihat boleh meragut nyawa penduduk di Sabah," katanya.
Reaksi sama turut diberikan seorang lagi anak jati Sabah yang kini menetap di Jalan Kuchai Lama, Morin Wong Shiann Yi, 30, yang menyifatkan tindakan penduduk kampung itu sebagai satu tindakan bijak dan berani.
Beliau yang berasal dari daerah Penampang itu berkata ketika ini rakyat Sabah seharusnya bersatu hati dalam menentang penceroboh keamanan dan keselamatan negara dan tidak hanya mengharapkan pasukan keselamtan seperti polis sahaja.
"Go Sabahan go! Bersatu kita teguh bercerai kita roboh dan hanya rakyat tempatan sahaja yang betul-betul mengenali siapa sebenarnya rakyat Sabah dan siapa yang bukan (penceroboh)," katanya.
Ijang, 30, berasal dari Putatan pula berkata keberanian penduduk kampung itu tidak boleh dipertikaikan tetapi soal undang-undang masih tidak boleh dipandang ringan.
"Walhal keberanian mereka (penduduk kampung) itu mungkin kerana mereka sayangkan akan daerah dan negeri mereka. Tapi undang-undang tetap undang-undang. Silap langkah teruk jadinya sebab tidak mustahil negara luar tengahmenunggu 'peluang'," katanya yang kini menetap di Sungai Buloh.
 -BERNAMA

2 comments:

Anonymous said...

Hantar je sniper kasih bersepai kepala Sultan Kiram... selesai satu perkara.

Kalau susah sangat, upah je hitman Filipina.

Anonymous said...

betul..betul..betul..(kalu ikutkan hati)..tapi kita tak sekejam tu kot...;)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive