08 June 2014

Johor akan merayu keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Putih



Kerajaan Johor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan dikelolakan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mengkaji dan mendapatkan bukti baharu tentang kes tuntutan Pulau Batu Putih.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan Artikel 61(5), Chapter III, Statute of The International Court Of Juctice menyatakan bahawa permohonan untuk menyemak kembali kehakiman perlu dibuat sebelum tempoh 10 tahun dari tarikh penghakiman.

Beliau berkata, dalam kes Pulau Batu Putih, tarikh penghakiman pada 23 Mei 2008 dan ini bermakna tempoh rayuannya akan tamat pada 23 Mei 2018.

"Maka dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, ia dapat mengkaji serta mengumpul segala bukti baharu yang tidak dikemukakan pada proses penghakiman terdahulu.

"Ini juga selari dengan Artikel 61(1) Akta yang sama yang menyatakan bahawa setiap rayuan hendaklah disertakan dengan bukti-bukti baharu yang kukuh,'' katanya dalam sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Kota Iskandar, pada Ahad.

Mohamed Khaled berkata bagaimanapun, segala rayuan mesti menerusi kerajaan Persekutuan memandangkan penghakiman itu adalah antara kerajaan Malaysia dengan Singapura, dan kerajaan negeri akan memohon kerjasama kerajaan Persekutuan untuk menanggung segala perbelanjaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim ketika perasmian pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor ke-13 pada 29 Mei lepas, bertitah agar kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji untuk merayu keputusan ICJ berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sebelum ini, Sultan Johor Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan negeri Johor supaya menubuhkan sebuah pasukan khas supaya mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim bertitah langkah itu sejajar dengan pesanan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau berkenaan mesti kekal menjadi sebahagian daripada negeri Johor.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor ke-13, 29 Mei lalu.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih adalah milik Singapura manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada.

Penghakiman itu diumumkan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh di The Hague, Belanda.

Pulau Batu Putih, yang dipanggil Pedra Branca oleh Singapura, terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh di Johor.
Panel 16 hakim membuat penghakiman 12-4 menyebelahi Singapura.

Bagi Terumbu Karang Tengah pula, mereka membuat keputusan 15-1 memihak kepada Malaysia. Begitu juga Terumbu Karang Selatan. -8/6/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive