)
SHAH ALAM – Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid mempertahankan kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Umno yang disifatkannya sebagai teguran untuk kebaikan parti itu.
Dalam satu rakaman video dimuat naik di YouTube oleh Blog Parti Melayu, kelmarin, Sanusi berkata, pandangan Dr Mahathir mengenai perubahan yang diperlukan dalam Umno patut dipertimbangkan oleh pemimpin parti itu.
“Kalau pemikiran dia (Dr Mahathir) betul, macam mana? Kita menyesal nanti apabila kita kalah, waktu itu sudah terlambat. Tun Mahathir barangkali dia tak mahulah dia dipersalahkan jika kita (Umno) kalah nanti, itu saja,” katanya dalam rakaman singkat bertajuk 'Antara Mahathir dan Najib' itu.
Menurutnya, konflik mula timbul kerana Dr Mahathir dan Najib yang juga Presiden Umno mempunyai pandangan berbeza mengenai cara memastikan survival parti itu.
“Saya kenal (Dr Mahathir), dia memang nak Umno dan BN menang. Cuma dia fikir dasar BN kena tukar, itu pandangan dia. Dia bukan nak BN dan Umno kalah.
“Bagi Najib pula, dia nak Umno menang (tetapi) dia juga nak ada di situ (kekal dalam Umno),” katanya.
Sanusi yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah berkata, kumpulan yang menentang pandangan Dr Mahathir adalah mereka yang ingin mengekalkan status quo, dasar dan pemimpin dalam Umno.
Sebaliknya, beliau berkata, Dr Mahathir lebih memikirkan kemenangan BN sama ada dengan menukar pemimpin atau dasar parti itu.
“Tapi saya nampak respons daripada pihak-pihak yang menyerang Tun Mahathir, mereka tak baca macam itu.
“Tun Mahathir, Daim bukan nak jadi Perdana Menteri. Mereka dah berumur, pernah jadi menteri dan Perdana Menteri,” katanya merujuk kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang turut mengkritik kerajaan secara terbuka.
Menurut Sanusi, sebagai orang lama dalam politik, mereka ingin berkongsi pemikiran dan pandangan mengenai hala tuju parti itu.
Dr Mahathir sejak 2013 kerap mengkritik pentadbiran Najib termasuk cara pengurusan ekonomi negara serta beberapa skandal yang dikaitkan dengan kerajaan, termasuk isu pelaburan 1Malaysia Development Bhd.
Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian Disember lalu, Dr Mahathir berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah Najib menukar banyak dasar ekonomi yang dilihat tidak memberi manfaat kepada negara serta menyifatkan ekonomi negara kini dalam keadaan lemah.
Beliau turut menegaskan ramai individu layak untuk menjadi pemimpin dalam Umno tidak diberi peluang sewajarnya kerana pemimpin Umno sedia ada takut kehilangan jawatan masing-masing.
'Najib patut belajar daripada Dr Mahathir'
Sementara itu, Daim dalam temu bual eksklusif bersama China Press yang disiarkan semalam berkata, Najib patut belajar daripada Dr Mahathir cara pengurusan krisis, seperti banjir besar baru-baru ini.
Daim berkata, beliau menyampaikan pandangannya itu kepada Najib semasa bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu, baru-baru ini.
"Saya tak kata Najib gagal cuma dia kena lebih bijak. Dr Mahathir tunjukkan kepimpinan baik semasa harungi krisis," katanya.
Selain itu, Daim berkata walaupun beliau yakin BN masih mampu menjadi kerajaan pada PRU14, parti itu perlu mengkaji kelemahannya.
Beliau juga kecewa dilabelkan sebagai antikerajaan kerana banyak mengkritik pentadbiran Najib secara terbuka.
"Kerajaan selalu kata sedia terima kritikan tetapi kalau ada orang kritik, mereka dianggap antikerajaan. Tetapi saya akan terus kritik demi negara dan kerajaan walaupun saya dibidas," katanya.
Beliau juga menegaskan Mahathir ada hak untuk mengkritik Najib kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.
Dalam wawancara itu, Daim turut mengakui pemimpin muda sukar mendapat tempat dalam Umno kerana terdapat ketua-ketua bahagian yang menghalang pemimpin muda untuk naik bagi menjaga kedudukan masing-masing. - SH
No comments:
Post a Comment