KOTA BHARU – Tempoh rundingan terlalu lama menyebabkan kebanyakan anak- anak kapal MT Bunga Melati 2 milik MISC Berhad yang ditahan lanun sejak 19 Ogos lalu mula trauma dan tertekan.
Malah, anak-anak kapal kini terpaksa mencatu makanan kerana bekalan sedia ada semakin berkurangan dan tidak tahu bila bekalan makanan seterusnya akan tiba.
Demikian cerita terbaru mengenai nasib anak-anak kapal MT Bunga Melati 2 yang didedahkan Mohd. Sanusi Mohd. Rasdi, 37, abang tiri kepada Mohd. Salwadi Mamat 31.
Jelasnya, adik memberitahu bekalan makanan di dalam kapal tersebut semakin berkurangan dan Salwadi bersama rakan-rakannya khuatir akan kebuluran sekiranya proses rundingan terus berlanjutan.
“Dia (Salwadi) berkata mereka sudah menghubungi MISC berkaitan perkara itu namun sehingga sekarang belum ada maklum balas,” katanya.
Salwadi merupakan salah seorang anak kapal MT Bunga Melati 2. Mengikut Sanusi, pukul 7 petang, Isnin lalu, beliau menerima panggilan telefon daripada Salwadi dan mereka sempat berbual kira-kira 10 minit.
“Dia kata sihat tetapi memberitahu semua anak kapal mula takut dan dia sendiri mula trauma kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi sedemikian sepanjang 10 tahun bekerja.
“Lebih merisaukan Salwadi dan anak-anak kapal lain ialah kerana tempoh rundingan terlalu lama,’’ kata beliau ketika di temui di rumahnya di kuarters kediaman polis Kuala Berang, Terengganu semalam.
Katanya, buat masa ini, kesemua anak kapal terpaksa mengikut sahaja perintah lanun-lanun terbabit dan sebagai timbal balas mereka diberi kemudahan seperti mandi, sembahyang dan sebagainya.
Sanusi memberitahu, dalam perbualan tersebut adik tirinya itu juga sempat memberitahu, lanun yang menawan mereka adalah kumpulan lanun berkulit hitam.
Jelasnya, lanun-lanun itu juga lengkap dengan senjata api moden dan sistem komunikasi canggih.
Mohd. Salwadi adalah antara kira-kira 39 anak kapal yang dijadikan tebusan sekumpulan lanun selepas menawan kapal tangki itu yang dalam perjalanan dari Dumai, dekat Sumatera, Indonesia ke Rotterdam, Belanda.
MT Bunga Melati 2 yang membawa muatan 32,025 tan minyak sawit dirampas di Teluk Aden, perairan Somalia pada pukul 10.09 malam waktu tempatan bersama-sama 29 anak kapal warga Malaysia dan 10 warga Filipina. ... [KOSMO Online]
MS: KENAPA KERAJAAN PAK LAH BEGITU LAMBAT BERTINDAK? APAKAH KERANA KES SEBEGINI TIADA KEPENTINGAN POLITIK?
SAMA-SAMALAH KITA BERDOA AKAN KESELAMATAN ANAK-ANAK KAPAL YANG DITAHAN.
No comments:
Post a Comment