05 August 2009

Perhimpunan Dataran Merdeka 19 Sept 98 - bhg 2

CERITA BENAR - yang aku sendiri alami
bahagian 2
bahagian 1 DI SINI
Sesampai kami di Dataran Merdeka didapati pasukan FRU yang pada awal tadi mengawal dataran dari di masuki kini telah tidak kelihatan. Kami memasuki dataran. Aku tak pasti berapa ramai jumlah kedatangan petang itu. 20 ribu? 30 ribu? Cuma yang pasti kami memenuhi dataran. Jam hampir 5 ptg. Aku masih terpinga-pinga, apa akan dilakukan? Apa akan terjadi? Adakah sekadar berkumpul. Atau sekadar untuk melaung RE FO MA SI?
Satu pertunjukan pentas akan berlangsung pada malam nanti di pentas dataran. Alatan audio video siap dipasang. Artis-artis sebelumnya sedang membuat ujian suara kini hilang entah kemana. Tiba-tiba seseorang naik ke pentas kawalan audio-video ditengah padang dan berucap dengan menggunakan loud hailer. Aku tak pasti siapa. Kalau tak silap aku Ezam. Selepas itu DSWA juga berucap. Dan yang terakhir, sekali lagi DSAI berucap.
Selesai DSAI berucap, sekali lagi peserta bergerak. Aku masih tidak tahu hendak kemana? Ada yang berkata nak ke PWTC untuk berjumpa mahathir. Aku ikut saja lah walau hendak kemana sekali pun. Penat nanti berhenti lah.
Perarakan terus menuju ke arah Jln Raja Laut. Melepasi bangunan DBKL, Sogo, Pertama Kompleks. Kenderaan, pekedai dan orang ramai di sekitar Jln Raja Laut panik. Ribuan manusia sedang berarak menuju ke arah Chow Kit. Tujuan? Katanya bertemu mahathir di PWTC. Tiada halangan polis. Tiada "water canon". Tiada gas pemedih mata. Perarakan jadi aman, walaupun terdapat sedikit masalah pada lalulintas di kawasan berhampiran. Jualan air mineral, air botol, air kotak atau apa saja air tiba-tiba melonjak bagi para pekedai disepanjang Jln Raja Laut.
Perarakan aman diteruskan. Aku masih berdaya. Dalam hati kecil aku terus bertanya apa akan dilakukan selepas bertemu mahathir nanti? Aku tak pasti samada DSAI dan DSWA ada bersama dalam perarakan ini.
Perarakan tiba di PWTC hampir magrib. Dengan hanya menggunakan pancutan air di hadapan PWTC kami berwuduk seterusnya solat magrib disekitar PWTC. Peserta masih ramai seperti bermula di dataran tadi. Semua ingin tahu apa tindakan selanjutnya. Ramai yang macam aku. yang tahu hanya berarak dengan laungan RE FO MA SI... itu saja. Selain nya terserah pada kepala perarakan.
Selesai solat magrib, ada yang kata perarakan petang itu ditamatkan di sini saja. Mahathir tiada di PWTC. Ada pula yang kata perarakan akan diteruskan ke rumah mahathir. Seri Perdana. Aku ikut saja kehendak ramai.
"Kita kerumah mahathir" .... tiba-tiba terdengar laungan dari salah seorang yang ada di situ. Seperti biasa, aku tak kenal siapa yang yang memberi arahan itu. Perarakan perlahan-lahan bergerak kearah Jln Mahameru untuk ke Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri. Juga tiada tembakan gas pemedih mata, tiada tembakan meriam air ...
Jumlah peserta dalam perarakan ini dah nampak berkurang dari asal tadi. Mungkin hanya tinggal separuh. Perarakan lancar. Kereta peronda polis, motosikal polis berulang alik, seolah-olah mengawal pergerakan kami malam itu. Syukur tiada gangguan dari mereka. Setelah hampir setengah jam kami tiba di persimpangan masuk ke Seri Perdana.
Polis FRU dengan "water canon" tersedia di hadapan jalan masuk ke Seri Perdana. Perarakan sampai betul-betul dihadapan gerombolan polis. Ada yang cuba memasuki Seri Perdana. Satu tindakan yang aku kira bodoh. Kami terus melaungkan RE FO MA SI di hadapan beratus FRU yang telah siap sedia untuk bertindak. Lalulintas di Jalan Mahameru terganggu di kedua-dua arah. Arah ke Muzium dipenuhi para penyokong DSAI. Arah ke PWTC dipenuhi polis.
"Sila bersurai dalam masa 5 minit, kalau tidak polis akan bertidak" terdengar arahan dari atas trak FRU. .... aku dah mula undur .... ramai yang degil ... ada yang cuba menyerbu kearah polis, untuk apa? Aku pun tak tahu ....
Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan ... gas pemedih mata dilepaskan ... 5 minit telah berlalu ... Ramai bertempiaran lari ... termasuk aku ... dari jauh kelihatan "water canon" juga telah digunakan ... mata aku pedih ... terus berlari ke arah Muzium .... waktu sekitar 8.30 malam ... aku terus berjalan ke arah muzium ... ramai lagi di belakang aku ... dan aku terus berjalan ke arah bandar ... Aku tinggalkan saja apa yang berlaku di hadapan jalan masuk Seri Perdana ...
Keesokan hari nya 20 Sept 98 DSAI ditangkap dirumah nya oleh pasukan komando/UTK polis.


Apakah perbezaan perhimpunan 1 Ogos 09 dengan perhimpunan REFOMASI 19 Sept 98?

STONE: Kalau ada para pembaca yang terlibat pada perhimpunan petang itu harap dapat berkongsi cerita sekiranya terdapat apa-apa cerita menarik yang tidak terdapat dalam artikel saya di atas ... TQ

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive