21 August 2009

PRK Pmtg Pasir: PAS sedia bawa Rohaizat dan Yusri bersemuka

BUKIT MERTAJAM, 21 Ogos (Bernama) -- PAS mencadangkan calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dan bekas rakan kongsi firma guamannya, Yusri Isahak bersemuka dan menjelaskan isu mereka secara terbuka kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu bersedia untuk menyediakan pentas bagi tujuan itu supaya rakyat dapat menimbangkan siapa yang sebenarnya betul atau salah."Kalau kedua-dua pihak bersetuju untuk bersemuka dan memperjelaskan secara terbuka apa yang berlaku dalam syarikat guaman yang pernah mereka miliki satu ketika dulu, kita (PAS) sedia tawarkan pentas.
"Penjelasan itu untuk beri satu keyakinan kepada masyarakat dan rakyat apa sebenarnya yang berlaku dan menimbangkan siapa yang sebenarnya betul," katanya pada sidang akhbar di Markas Besar PAS Permatang Pasir di sini.
Semalam, Yusri mendakwa beliau telah dijadikan kambing hitam dalam isu pembatalan lesen guaman sivil Rohaizat.
Sementara itu, Mahfuz berkata PAS tidak sama sekali menyerang peribadi calon BN itu dan menafikan tuduhan kononnya PAS membangkitkan isu berkenaan untuk dijadikan isu politik.."Kita tidak mengaibkan orang kerana kita mengemukakan bukti yang sebenarnya dan rakyat di Permatang Pasir perlu tahu perkara sebenar kerana mereka berhak memilih calon yang baik," katanya dan menurutnya media baru seperti blog dan laman web yang memulakan perkara itu.
Rohaizat, 38, akan berdepan dengan Pesuruhjaya PAS Mohd Salleh Man, 52 pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan laporan sebuah blog yang menyatakan beliau mendakwa Mohd Salleh telah mengelapkan sebanyak RM600,000."
Dakwaan itu tidak berasas dan saya tidak pernah menyatakan seperti demikian. Semalam dalam blog itu kata RM600,000 dan hari ini kata RM60,000 pula, yang mana satu betul."Tapi saya suka mengingatkan jika blog berkenaan masih terus memainkan isu berkenaan tanpa mengemukakann bukti yang sahih, PAS tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog terbabit," katanya.
Laporan dalam blog "bigdogdotcom" semalam menyebut semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lepas, seorang pemimpin PAS Pulau Pinang membangkitkan kononnya peruntukan jentera pilihan raya parti itu sebanyak RM600,000 telah digelapkan Mohd Salleh.Laporan blog itu menyebut kononnya dakwaan itu dibuat sendiri oleh Mujahid dan bekas Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Zulkifli Lazim.-- BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive