KUALA LUMPUR 12 Dis. – Seorang suspek berusia 36 tahun yang diburu kerana memaksa seorang kanak-kanak perempuan melakukan seks oral terhadapnya sambil mengacukan sepucuk pistol di dalam sebuah surau di Ampang, 3 Disember lalu, ditahan polis di Kampung Tasik Permai di sini, semalam.
Ketika suspek ditahan, polis turut menemukan satu objek menyerupai sepucuk pistol revolver dalam beg pinggang miliknya yang hasil pemeriksaan didapati palsu.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, suspek sebelum itu dilihat oleh sepasukan anggota polis peronda dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika polis memperkenalkan diri, berlaku pergelutan tetapi suspek akhirnya dapat ditangkap,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, suspek dikatakan telah memaksa seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun melakukan seks oral terhadapnya sambil mengacukan sepucuk senjata dipercayai revolver.
Sementara itu, Khairuldin memberitahu, hasil siasatan juga mendapati suspek merupakan bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang tidak lagi aktif menjalankan tugas.
“Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment