Sumber mStar Online
KUALA LUMPUR, 8 JAN 2015: Isu lamaran pelakon Hairul Azreen kepada kekasihnya, aktres Hanis Zalikha di atas pentas akhir GegarVaganza Ahad lalu nampaknya terus menjadi topik hangat untuk diperkatakan.
Jika sebelum ini, pengacara sensasi Azwan Ali secara terang-terangan mengkritik perbuatan melamar itu menerusi akaun Twitter miliknya, terbaru pakar motivasi Ustaz Zulkefli Hamat, 41, yang juga hos bersama bagi program Pencetus Ummah berkata cara aktor Hairul Azreen melamar kekasihnya itu bertentangan dengan nilai Islam dan budaya masyarakat Melayu.
Menerusi laporan mStar Online, Ustaz Zul Hamat memberitahu cara tersebut boleh menjatuhkan maruah wanita yang dilamar itu jika perhubungan tersebut terputus di tengah jalan.
Dalam penjelasannya lagi, Ustaz Zul berkata lamaran adalah sama maksudnya dengan meminang atau khitbah yang mana ia sepatutnya dilakukan hanya dalam keluarga sahaja bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.
Sekiranya hubungan tersebut putus sebelum diijabkabulkan ia akan mengaibkan dan memalukan wanita itu sendiri melainkan lamaran tersebut disusuli terus dengan majlis akad nikah.
Ustaz Zul berkata demikian apabila diminta pendapatnya mengenai trend muda-mudi ketika ini membuat lamaran terhadap pasangan masing-masing dengan cara diamalkan oleh bukan Islam.
Beliau turut menegur lamaran tersebut apabila Hairul melafazkan ayat “will you marry me” terhadap Hanis kerana ia menyerupai budaya agama lain selain perbuatan itu boleh memesongkan akidah umat Islam.
Tambahnya, amalan "will you marry me" (sudikah anda mengahwini saya) sering dilakukan oleh kebanyakan artis ketika ini yang mana ia boleh menjadi ikutan kepada generasi akan datang.
Banyak cara lain yang boleh dilakukan oleh pelakon itu bagi membuktikan rasa cinta untuk melamar kekasihnya.
Jelas Zulkefli lagi, selebriti tersebut seharusnya meminta pendapat dan nasihat daripada mana-mana ahli agama sebelum membuat tindakan yang berkaitan dengan hukum-hakam agama Islam.
Jika mengikut ajaran Islam, seseorang itu perlu melakukan solat hajat sebelum melamar dan bukan dengan tarian seperti dalam program itu. Dia bimbang perkara ini akan disalah anggap oleh penganut agama lain yang beranggapan cara perkahwinan Islam sama dengan cara agama mereka
Walau bagaimanapun, Zulkefli berkata, daripada sudut pandangan lain, lamaran tersebut menggalakkan pasangan kekasih untuk 'membina masjid'.
Zulkefli merupakan Ketua Unit Kepimpinan, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.
No comments:
Post a Comment