Sokongan buat anggota polis yang mati ditembak dalam kejadian di pejabat majalah satira Charlie Hebdo di Paris datang mencurah-curah selepas beliau dikenal pasti sebagai seorang Muslim.
Orang ramai memuji Ahmed Merabet, 40 tahun, yang disanjung kerana berani dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang anggota polis peronda berbasikal, lapor The Guardian.
Beliau juga dipuji kerana gugur ketika mempertahankan hak sebuah penerbitan untuk memperolok-olokkan agamanya.
Pengguna media sosial Facebook dan Twitter giat memuatkan slogan #JeSuisAhmed (Saya Ahmed) di laman mereka sebagai tanda sokongan kepada Ahmed.
Slogan itu muncul sehari selepas orang ramai melaung-laungkan slogan #JeSuisCharlie (Saya Charlie) semalam.
Menurut seorang pegawai polis, Ahmed Merabet diarahkan ke tempat kejadian bersama seorang rakan setugas wanita.
Beliau tiba sewaktu kereta hitam yang dinaiki dua penembak itu baru sahaja meninggalkan pejabat Charlie Hebdo.