PERMATANG PAUH: Berbaki beberapa jam sebelum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon, cakap-cakap kuat mengatakan tiada kejutan bakal dibuat parti itu dalam usaha menyelamatkan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Sehingga berita ini ditulis, keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan terus ‘mengawal’ kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 7 Mei ini.
Hanya dua nama paling kuat dikatakan menjadi taruhan PKR iaitu sama ada isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anak ketiga mereka, Nurul Nuha Anwar.
Sumber dalaman parti itu ketika dihubungi mStar Online berkata, sentimen pemenjaraan Anwar atas kesalahan meliwat merupakan ‘senjata’ paling kuat parti itu untuk menentang Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh.