24 April 2011

Mata saya ditutup dan saya dibogelkan - Bekas tahanan ISA, Ahmad Abdul Kadir

Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Ahmad Abdul Kadir komited dengan perjuangannya bersama KEADILAN, meskipun berhadapan dengan cabaran getir, termasuk deraan mental sepanjang tempoh penahanannya di bawah akta zalim tersebut.
“Saya akan tetap menyertai aktiviti parti. Ini hanyalah sebahagian dari liku-liku perjuangan untuk menguji ketahanan,” katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kerinchi 22 April lalu.
Menceritakan pengalamannya, Kadir yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) menjelaskan pada awal penahanan, beliau dibawa berpindah dari satu sel tahanan ke tempat yang lain tanpa diketahui lokasinya.
Mata ditutup, dibogel
“Mata saya ditutup bila dipindah dari satu tempat ke satu tempat tahanan yang lain. Setiap kali berpindah saya kena buka pakaian dan diperiksa.
“Ketika dalam sel, dimaklumkan bahawa saya adalah orang yang ke-22 ditahan dibawah ISA untuk tahun ini.
“Saya dibawa dengan menggunakan van yang bertutup di bahagian belakang pemandu. Saya hanya tahu yang saya berada di satu tempat pada suatu hari, ketika meninjau dari van polis dan ternampak papan tanda ‘Sekolah Kebangsaan Sentul’. Sekali itu sahaja.
“Suasana sel gelap dan saya hanya tidur di atas lantai. Setiap hari saya dipanggil untuk disoal siasat oleh I.O (Pegawai Penyiasat) untuk tempoh 8 hingga 10 jam. Saya dipanggil dan dibawa ke satu bilik di tingkat empat di sebuah bangunan yang tak diketahui lokasinya.
“Hendak tidur memang susah. Setiap setengah jam mereka akan panggil,” jelasnya dengan tenang.
Kadir memberitahu, ketika disoal siasat, I.O juga ada membawa senjata api dan memintanya mengenalpasti jenisnya dan jenis peluru.
“Saya tak kenal. Saya hanya pernah tengok senjata api di dalam filem di TV,” kata Kadir.
‘Unit Penampan Gerak Tempur’.
Kadir ditahan ketika kesibukan negara dalam tempoh kempen menjelang pilihan raya negeri di Sarawak ke-10 pada 1 April 2011. Beliau dibebaskan dan dihantar ke perkarangan rumahnya pada jam 4 petang 20 April lalu selepas ditahan selama 20 hari.
Beliau dikatakan terlibat dengan kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama,dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit di bawah Seksyen 73(1) ISA.
Namun, penahanannya mendapat liputan meluas termasuk media luar negara. Manakala Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan kumpulan hak asasi Suaram (Suara Rakyat Malaysia) memberikan tekanan sehingga Kementerian Dalam Negeri mengambil keputusan untuk membebaskannya.
“Mereka (polis) sangat bimbang kalau Suaram atau wartawan bertanyakan tentang kes ini. Secara logiknya orang yang bersalah akan rasa takut. Saya tahu bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya sambil menambah, beliau turut memikirkan tentang hal lain, terutamanya mengenai keluarganya ketika ditahan.
Antara soalan oleh pegawai penyiasat adalah peranannya dalam ‘Unit Penampan Tempur KEADILAN Lembah Pantai’ yang sebenarya masih dalam proses penubuhan.
“I.O mengatakan bahawa saya adalah pemberontak bagi PKR. Saya maklumkan unit ini berfungsi sebagai penampan kepada Gerak Gempur Umno dan tidak ada kena mengena dengan aktiviti keganasan,” ujarnya.
Kadir memaklumkan bahawa, pergerakannya diintip sehinggakan pemergiannya ke Thailand untuk mempelajari ilmu agama di sebuah daerah di negara tersebut dicurigai.
Dikaitkan dengan komunis
“Mereka juga cuba kaitkan unit ini dengan Rejimen 10 PKM (Parti Komunis Malaya). I.O turut katakan bahawa saya adalah orang yang akan menggulingkan kerajaan, membawa ajaran sesat dan lain-lain lagi.
“Mereka turut menggunakan dalil Al-Quran, kononnya walaupun pemimpin sesebuah negara itu bersifat fasik dan tidak berlaku adil, namun selagi mana pemimpin negara itu tidak menghalang kita untuk mengamalkan ajaran Islam, bermakna kita kena taat.
“Bagi saya, ini adalah niat mereka untuk memperbodohkan saya,” ujar Kadir tegas.
Dalam pada itu, Kadir turut disoal antara lainnya termasuk status laman sosial ‘Facebook’ yang menggelar dirinya sebagai ‘Partime Gerilous’.
Sambil tertawa beliau memaklumkan, pihak berkuasa sangat serius dengan tindakan tersebut dan akan mengambil pendirian tegas termasuk menahan mereka yang berbuat demikian.
“Sepatutnya mereka kena fikir. Kalau mereka betul bijak dan ‘mengikuti’ saya, membaca status facebook saya, mereka akan tahu. Sehinggakan ada diantara mereka yang tidak percaya bahawa tahanan adalah seorang OKU. Ada yang rasa sinis.
Kadir memaklumkan reaksi itu hanyalah secara spontan dan luahan emosi berkenaan tekanan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat.
“Kita cuba mengubah keadaan melalui jalan demokrasi. Masalahnya, proses demokrasi yang kita jalankan ini tak adil. Media kita disekat dan laporan tidak seimbang.
“Kerajaan kena mengakui kelemahan sekiranya mereka berani, bertanggungjawab dan amanah. Masalahnya kerajaan tidak boleh terima kritikan. Sepatutnya sebagai orang yang bijak, mereka tak perlu gunakan semua undang-undang itu.
Polis turut tanya ‘Video seks’.
Beliau turut ditanya mengenai aktiviti politiknya dan Kadir memaklumkan bahawa beliau hanya merupakan ahli biasa KEADILAN dan lebih menumpukan kepada perniagaan restoran Tomyam yang diusahakannya
Beliau turut ditanya mengenai pandangannya terhadap Kes Fitnah II dan video fitnah terbaru terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tak percaya. Mereka tekankan, mengapa saya tak percaya. Saya cuma maklumkan bahawa saya sudah faham dengan kes ini,” katanya yang yakin bahawa polis telah gagal untuk meyakinkannya.
Kadir memaklumkan, beliau akhirnya dibebaskan tanpa perlu menandatangani sebarang dokumen perakuan. Namun beliau memaklumkan pergerakannya kini terhad, antara lainnya terpaksa melapor ke Balai Polis berhampiran sekiranya ingin keluar dalam jarak 60 kilometer dari rumahnya.
Kadir juga tidak dibenarkan untuk berucap di sebarang program politik secara terbuka.
“Saya yakin yang saya akan bebas. Kalau mereka nak aniaya saya dan kena tahan dua tahun, saya dah sedia menghadapinya. Cuma kalau benar berlaku kebangkitan rakyat untuk menuntut hak dan keadilan, saya rasa rugi kalau tak dapat sertai,” ujar Kadir.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12064

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive