11 February 2011

Pemantauan terhadap remaja Islam bukan hanya tertumpu pada sambutan Valentine sahaja - Dr Halimah

PETALING JAYA: Pemantauan kegiatan tidak bermoral di negeri- negeri seperti Selangor, Kedah dan Kelantan dijalankan secara berterusan pada setiap tahun tanpa mengira sebarang perayaan mahupun sambutan tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali berkata pemantauan di negeri itu bukan hanya tertumpu pada sambutan Valentine, malah sambutan tahun baru atau kemerdekaan yang membabitkan umat Islam.

Halimah berkata di Selangor sahaja 100 peratus yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini membabitkan remaja Islam.

“Pemantauan dan penguatkuasaan dibuat secara berterusan oleh pelbagai pihak termasuklah polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), Rela, NGO kerana ia sudah menjadi tanggungjawab hakiki mereka.

“Malah kegiatan tidak bermoral seperti khalwat, zina, berdua-duaan tanpa ikatan ini merupakan masalah nasional dan di Selangor kami membuat pemantuan secara berterusan tanpa mengira sebarang sambutan mahupun perayaan tertentu.

“Di Selangor kempen anti zina yang menjurus kepada umat Islam telah dilancarkan sejak tahun lepas menjadi satu pendekatan untuk elak mencegah masalah sosial seperti buang bayi dan zina,” katanya yang dihubungi FMT hari ini.

Beliau turut bersetuju dan mengalu-alukan mana-mana parti politik yang bersama-sama membantu menangai masalah sosial tersebut.

Parti politik dipelawa sumbang tenaga

Katanya, cadangan dikemukakan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi kelmarin agar PBT bekerjasama dengan polis dan Rela untuk memantau aktiviti tidak bermoral ketika sambutan Valentine merupakan tindakan inklusif.

“Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) membantu dari segi pendidikan, NGO (badan bukan kerajaan) tidak boleh menghukum tetapi mereka berdakwah. Polis juga hanya tangkap orang yang berbuat jahat.

“Saya alu-alukan mana-mana parti politik, sama ada PAS mahupun Umno untuk sumbang tenaga bagi mengatasi masalah sosial seperti ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang.

Sementara itu, di Kedah menurut Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) agar meningkatkan penguatkuasaan bagi memantau umat Islam yang menyambut Valentine.

“Saya telah arahkan bahagian penguatkuasa Jaik untuk pantau remaja Islam yang menyambut Valentine dan mendapat kerjasama daripada polis dan turut membabitkan ketua pegawai agama daerah di semua daerah,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT.

Penguatkuasaan secara berterusan

Manakala di Kelantan kerjasama bersama pihak polis dan Rela sudah menjadi amalan dalam membanteras kegiatan tidak bermoral tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah, kebiasaannya dalam perayaan dan sambutan tertentu sebarang operasi akan ditingkatkan.

Sambutan Valentine kebiasaannya disambut pada 14 Februari, namun menurut Mohd Nik Amar di Kelantan keadaannya cukup berbeza jika dibandingkan di negeri-negeri lain.

“Di Kelantan tidak ketara kerana hampir tiada sambutan Valentine ini. Kami tiada NGO namun memiliki skuad yang digelar ‘Amru’ iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar.

“Skuad ini akan menjalankan tugas-tugas pencegahan maksiat secara rasmi. Malah penguatkuasaan membabitkan kerjasama polis di seluruh daerah manakala Rela akan bertindak di kampung-kampung,” katanya - FMT
STONE : Aku setuju sgt apa yg di nyatakan oleh Dr Halimah. Pemantauan terhadap moral remaja Islam perlu berterusan, bukan terhad kepada hari Valentine saja.
Datang saja ke KLCC pada petang Sabtu dan Ahad (dah berkurangan sejak ada Pavilion), korang boleh lihat bagaimana aksi-aksi anak-anak muda kita. Mereka bukan 'berkhalwat' kerana aksi-aksi menjolok mata mereka dilakukan di tempat awam. Sangat menyedihkan.
Dengan pakaian yang terdedah sana sini, merokok sudah kemestian, berpelukan, bercium ... kadang-kadang aku bertanya sendiri, apakah aku berada di sebuah negara Eropah, atau negara bukan Islam? ...
Apa tindakan yang boleh polis, PBT, Rela lakukan? Kerana aksi-aksi mereka di tempat awam. Inilah masanya Jabatan/Majlis agama atau PAS perlu bertindak. Tapi sejauh mana kah tindakan dari PAS Selangor/Wilayah setakat ini. Aku tidak lah berada di sana setiap hujung minggu, kecuali sesekali bila ada apa-apa acara atau membawa anak-anak berjalan-jalan.
Setakat yang aku tahu, tiada apa-apa tindakan sehingga kini dari PAS. Sekurang-kurangnya mereka boleh kesana memberi nasihat kepada remaja-remaja 'kaki lepak' tu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive