SUNGAI SIPUT: Air sungai yang surut hingga 1.5 meter membolehkan mayat Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, iaitu anak lelaki sulung Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, ditemui terapung dan tersangkut pada akar kayu di tebing Sungai Perak, awal pagi semalam.
Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal itu dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang, di sini, pada tengah hari Sabtu lalu dan dipercayai terjatuh ke dalam sungai. Penemuan itu mengejutkan semua pihak berikutan sepanjang tempoh 48 jam kehilangannya, beberapa bomoh dan pengamal perubatan tradisional memberi petunjuk bahawa Muhammad Azfar hilang di dalam hutan berdekatan rumahnya sebelum petunjuk itu beralih ke arah sungai.
Sebelum itu, beberapa buah bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berulang kali melalui kawasan mayat kanak-kanak itu ditemui sejak dua hari lalu, namun gagal menemui apa-apa petunjuk.
Namun, mulai malam kelmarin, air sungai tiba-tiba surut berbanding kedalaman sebelum ini iaitu sekitar 3 hingga 4.5 meter sekali gus memudahkan operasi menyusuri tebing untuk mencari mayat mangsa.
Mayat Muhammad Azfar ditemui bapa saudaranya, Muhammad Hatta Shukarno, 37, kira-kira jam 1.30 pagi semalam kira-kira satu kilometer dari kediaman ketika dia sedang menyusuri tebing sungai itu menaiki bot.
Muhammad Hatta berkata, ketika ditemui, separuh badan arwah terapung dengan kepala mendongak di atas air, manakala kakinya pula tersangkut pada akar kayu di tebing sungai.
Beliau berkata, keadaan muka, tangan dan kaki arwah juga sudah membengkak dan lebam dipercayai sudah lama berada di dalam air.
“Ketika menyusuri tebing sungai itu, saya terkejut apabila cahaya lampu suluh saya menghala ke arah sekujur tubuh manusia dalam keadaan terapung.
“Sebaik mendekati, saya terkejut apabila mendapati mayat itu adalah Muhammad Azfar. Saya cuba menarik mayat arwah untuk dibawa ke atas bot, namun gagal kerana tersangkut pada akar kayu sebelum mendapatkan pasukan anggota bomba dan penyelamat,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sungai Siput (HSS) di sini pagi semalam.
Turut sama berada di hospital adalah Kartika bersama bekas suaminya, Muhammad Affandi Amir, 40, dan bapa Kartika, Shukarno Abd Mutalib, 62.
Sementara itu, Kartika berkata, dia reda dengan pemergian anak lelakinya itu, malah naluri keibuannya kuat mengatakan bahawa dia akan kehilangan Muhammad Azfar.
“Pada hari pertama dia hilang Sabtu lalu, saya sudah menjangka ada malapetaka buruk yang menimpanya namun saya kuatkan hati dan tabah menanti serta berharap dia ditemui dengan selamat,” katanya.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi semalam mengesahkan penemuan kanak-kanak itu yang ditemui terapung di Sungai Perak dalam keadaan kaki tersangkut pada akar kayu kira-kira satu kilometer dari kediaman inap desa keluarga mangsa di Kampung Jawang, di sini.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui bapa saudara mangsa, Muhammad Hatta yang menyusur tebing sungai itu kira-kira jam 1 pagi sebelum menemui mangsa kira-kira jam setengah jam kemudian.
“Sepasukan anggota bomba dan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan keadaan mayat mangsa yang tersangkut pada akar kayu sebelum membawanya ke HSS untuk dibedah siasat,” katanya.
Katanya, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 12 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawang, Karai untuk dikebumikan selepas solat Zuhur semalam
No comments:
Post a Comment