KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali (gambar) bersumpah laknat tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda.
Ummi Hafilda melafazkan sumpah itu di hadapan wartawan, jurugambar dan penasihat undang-undangnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz selepas memfailkan saman memohon kebenaran merekodkan penghakiman ingkar terhadap Nor Azman di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Katanya, sumpah itu untuk mempertahankan maruahnya yang telah tercemar berkenaan isu hubungan seksnya dengan Nor Azman yang tersebar luas melalui media serta blog.
“Saya Ummi Hafilda Ali, dengan ini Wallahi, Wabillahi, Watallahi tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan seks dengan Nor Azman.
“Saya melafazkan sumpah laknat ini kerana saya difitnah secara melampau. Saya juga tahu siapa di belakangnya. Sumpah ini di bulan Ramadan yang suci, jika saya tipu saya akan dilaknat,” katanya.
Tegas Ummi Hafilda, sehingga kini beliau masih menanti kehadiran Nor Azman di muka pengadilan untuk menyelesaikan fitnah tersebut.
“Telah sampai masanya untuk perkara ini dibawa ke mahkamah, saya cabar Nor Azman tetapi kenapa dia tidak hadir ke mahkamah?,” katanya.
Permohonan penghakiman ingkar itu dibuat setelah Nor Azman gagal hadir ke prosiding kes saman fitnah RM100 juta sebelum ini.
Saman tersebut dibuat ke atas Nor Azman sebagai defendan melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Melalui permohonan tersebut, Ummi Hafilda selaku plaintif mendakwa writ saman dan pernyataan tuntutan telah disampaikan kepada defendan secara penyampaian ganti melalui suatu notis di dalam akhbar Harian Metro pada 16 Julai lalu dan afidavit penyampaian ganti turut difailkan tiga hari selepas itu.
Writ saman dan pernyataan tuntutan itu juga telah lengkap pada 29 Julai lalu dan defendan seharusnya memasukkan kehadiran atau pembelaan kepada tuntutan sebelum atau 7 Ogos lalu.
Terdahulu, Ummi Hafilda telah memfailkan semula saman berkenaan pada 25 April lalu yang menamakan Nor Azman sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd sebagai defendan kedua selepas Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membatalkan samannya kerana peguam dua pihak tidak hadir ke mahkamah semasa kes disebut pada 13 April lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, Ummi Hafilda mendakwa Nor Azman dalam satu temu ramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan fitnah dan menyerang secara peribadi, malah dikeluarkan semata-mata untuk memalukannya dan berniat jahat. - Sinar Harian
1 comment:
7 syarat Nurul Izzah meragukan rakyat. baca suarapakatanrakyat.com
Post a Comment