10 February 2012

2 YB PKR terlibat skandal pasir - RPK

2012/02/10


KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin mendakwa ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari, kedua-duanya dari PKR terbabit dalam skandal perlombongan pasir di Selangor. 


Dalam artikel yang disiarkan portal berita Malaysia Today semalam, beliau mendakwa ada unsur rasuah dalam urusan mendapatkan kontrak melombong pasir antara Mat Suhaimi dengan seorang kontraktor menerusi beberapa pertemuan di Pulau Pinang dan Subang serta rakaman perbualan telefon mereka.


Beliau mendakwa, Mat Suhaimi beberapa kali meminta wang daripada kontraktor berkenaan antara 15 Ogos 2009 hingga 5 Januari 2010, antaranya RM5,000 untuk perbelanjaan kempen pilihan raya, RM35,000 perbelanjaan Ramadan, RM10,000 jamuan Hari Raya dan RM50,000 yang masukkan dalam akaun bank sebuah syarikat untuk kegunaan pilihan raya.


Wang RM50,000 itu dimasukkan ke akaun Affin Bank, Klang menerusi transaksi pada .......
11 Januari 2010. 


Pendedahan semalam adalah susulan kepada pendedahan yang disiarkan kelmarin berhubung kematian kenalannya, Datuk Patrick Wong, seorang ahli perniagaan dalam rompakan di kediamannya di Bukit Bandaraya pada 2009 yang didakwa ada kaitan dengan skandal perlombongan pasir. 



Raja Petra mendakwa Mat Suhaimi turut meminta kontraktor pasir berkenaan bergabung dengan sebuah syarikat, Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan Mat Suhaimi serta Amirudin menjadi antara lima pengarahnya dengan bayaran RM5,000. 


Beliau mendakwa pada 18 Januari 2010, syarikat berkenaan menghantar surat permohonan untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil kepada Mat Suhaimi dengan tandatangan sokongan oleh Amirudin. 


“Apa yang penting, Mat Suhaimi dan Amirudin berdaftar sebagai Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd pada hari yang sama, iaitu 18 Januari 2010 dan ia bukan satu kebetulan. 



“Ia jelas wang itu adalah bayaran bagi membantu Double Dignity mendapatkan kelulusan daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk melombong pasir di Selangor. Mat Suhaimi memberitahu kontraktor itu perlu membayar segelintir orang dalam Kumpulan Semesta,” katanya. Kumpulan Semesta adalah anak syarikat kerajaan Selangor yang menguruskan pengeluaran pasir di negeri berkenaan. 


Selain itu, rakaman perbualan telefon berkenaan ada menyebut Mat Suhaimi akan berbincang dengan individu yang dikenali sebagai Azmin selepas kontraktor itu meminta bantuan untuk melombong pasir di Batang Kali. Mat Suhaimi kemudian memberitahu, wang RM50,000 itu perlu dibayar kerana Azmin ketika itu sedang mengumpul wang untuk perbelanjaan pilihan raya. 


Raja Petra juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan siasatan selepas skandal perlombongan pasir di Selangor didedahkan tahun lalu. 


Sementara itu, Amirudin ketika dihubungi berkata, isu yang didedahkan Raja Petra sudah dijelaskan secara terperinci kepada SPRM pada Julai 2010. 


“Ini bukan isu baru. Saya juga tidak ada kaitan dalam proses pengeluaran permit pasir kerana surat sokongan yang saya keluarkan adalah berasaskan peraturan dan etika. Oleh itu, ia tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat mana-mana pegawai yang bertanggungjawab,” katanya. 


Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga mendakwa tidak pernah mengenali Datuk Patrick Wong dan hanya mendengar nama ahli perniagaan itu beberapa hari lalu. 


Mat Suhaimi menerusi blog srimuda.blogspot.com pula mempertikaikan kredibiliti Raja Petra kerana gaya penulisan yang bertentangan berbanding sebelum ini. 


“Dalam dunia hari ini, objek manusia, gambar dan apa saja bahan spin (putar belit) boleh direka cipta dan disolek menjadi seperti asli, apatah lagi dokumen asli untuk maksud lain, boleh disalah guna bagi menjadikan tujuan spin dapat dibuktikan seyakin yang boleh,” katanya.  - bERITA HARIAN

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive