Blog Ibn75.wordpress.com
KULAIJAYA – Sebagai usaha untuk mendekati pengundi muda, cadangan pemberian RM1000 untuk insentif perkahwinan pertama bakal diterjemahkan sekiranya rakyat Johor memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) kelak.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Suhaizan Kaiat berkata, pengundi muda di Johor antara golongan yang paling ramai mendaftar sebagai pemilih baru apabila sejumlah 380,000 telahpun dikenalpasti.
”Tanggungjawab kita adalah untuk dekati mereka yang berumur 25 hingga 40 tahun. Ini (Kerja) bukan tanggungjawab (Badan) perhubungan (PAS Negeri Johor), bukan kerja (Dewan) Muslimat. Dekati mereka hingga yakin kepada kita,” tegasnya lagi.
”Kita membuat tawaran kepada anak muda seperti RM1000 insentif perkahwinan pertama, Wifi percuma di bandar-bandar, Tabung Belia Niaga, RM1000 insentif apabila masuk universiti (IPT), Tabung anak emas Johor dengan pemberian RM100 bagi setiap anak yang dilahirkan dan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan ini apabila berjaya kuasai Nusajaya,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor kali ke 40 dekat sini, baru-baru ini.
Sementara itu, pada majlis itu juga Suhaizan menyarankan kepada ahlinya supaya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dengan melipatgandakan amalan rutin sebagai pejuang Islam.
”Bila nak kuasai ‘ghairah’ ke Nusajaya maka saya sarankan tingkatkan hubungan dengan Allah supaya dapat reda Allah. Jangan lupa asas ini. Kita adalah pejuang,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment