06 January 2014

Cerita dari bekas-bekas tahanan ISA yang baru dibebaskan ...

TAIPING: Bekas tahanan terakhir Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyifatkan tempoh dua tahun 'disumbat' di dalam pusat tahanan telah membuka mata mereka untuk lebih menghargai kehidupan dan konsep kebebasan yang sebelum ini hanya dipandang 'enteng'.
Dua daripada enam bekas tahanan yang ditemui Bernama dalam sesi temubual khas malam Sabtu, juga mengakui pelbagai pengalaman dan pelajaran berguna yang diperoleh di sebalik tembok batu itu turut memperkukuh azam mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik apabila melangkah keluar, dari tempat itu pada Ahad.
Bakar Baba, 38, yang lebih mesra dipanggil 'cikgu', berkata sepanjang dua tahun itu membuatkan beliau 'mengenali' siapa sebenarnya sahabat dan saudara yang benar-benar mengambil berat terhadapnya serta keluarga.
"Pengajaran sepanjang dua tahun ini, kita gunakan masa yang ada pada hari ini sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu sama ada esok kita hidup atau tidak. Hari ini adalah kenyataan," katanya penuh makna ketika ditemubual ... Bernama di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, di sini malam Sabtu.
Beliau yang mendiami sel nombor 1, Blok B di situ turut menepis dakwaan sesetengah pihak mengenai penderaan terhadap banduan di pusat berkenaan, sebaliknya mengakui menerima layanan baik sepanjang ditempatkan di situ
.
"Kakitangan di sini menunaikan amanah dengan cemerlang menjaga kami, layanan baik dan sabar mereka terhadap sikap penentangan tahanan yang bukan dituju kepada kakitangan di sini sebenarnya.
"Jika ada yang dakwa berlaku penderaan di sini, ia adalah satu penipuan," katanya yang pernah menjadi tukang masak di pusat tahanan itu.
Katanya, soal tertekan juga tidak timbul kerana sepanjang menjalani hukuman di pusat berkenaan mereka tidak pernah disekat daripada bertemu anggota keluarga mahupun untuk berhubung melalui telefon.
Bakar yang berhasrat meneruskan perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang terbantut sejak penahanannya pada 15 November 2011 itu juga menghargai peluang mendalami ilmu agama malah pernah mengamalkan ibadah puasa Nabi Daud A.S serta mengkhatam al-Quran sebanyak dua kali sebulan.
Seorang lagi tahanan, warga Filipina, Muadz Hakim, 28, yang dikenali 'ustaz' berkata kesempatan untuk mendalami ilmu agama selain belajar bahasa Inggeris dan Arab akan menjadi kenangan manis sepanjang dua tahun beliau di situ.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu melahirkan rasa syukur kerana mampu khatam al-Quran sebanyak 15 kali dan menghafaz 12 juzuk sepanjang dua tahun di situ di samping amalan berzikir dan istiqamah wirid sentiasa terjaga.
"Saya bersyukur, warga di sini termasuk guru-guru memberi layanan yang memuaskan dari aspek pakaian, perjumpaan keluarga dan makanan...saya suka menu ikan atau ayam masak 'masam manis' dan 'bistik'...perpustakaan juga menyediakan kitab-kitab agama yang saya ingin baca," katanya.
Muadz yang turut memperdengarkan beberapa potong ayat al-Quran dengan bacaan bertarunum, turut menyatakan hasrat ingin menjadi tenaga pengajar agama kepada kerajaan Malaysia.
"Kalau boleh saya minta kerajaan Malaysia ambillah saya sebagai tenaga pengajar agama dan bahasa Arab. Saya juga mahu menjadi penduduk tetap (PR) di negara ini, saya suka Malaysia, saya mahu anak keturunan saya tinggal di sini, menjadi rakyat negara ini," katanya yang pernah memohon status PR sebelum ini.
Beliau yang tekad untuk meneruskan perniagaan produk makanan tambahan berasaskan herba serta amalan kesihatan seperti bekam dan refleksologi sebaik kembali ke pangkuan keluarga, turut mengakui pengalaman berjauhan dengan keluarga adalah sesuatu yang pahit. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive