Rabu Februari 26, 2014
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang menyiasat desas-desus yang mendakwa Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali menyaman lidah rasmi parti itu sendiri - Suara Keadilan kerana menyiarkan laporan berunsur fitnah.
Sehubungan itu PKR menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty bagi mendapatkan fakta lengkap mengenai perkara itu.
Bagaimanapun hingga kini Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail masih belum dapat mengesahkan kesahihan maklumat berkenaan.
"Perkara itu dibangkit dalam mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) yang diadakan di Kajang baru-baru ini mengenai tulisan saudara Hishamuddin Rais di dalam Suara Keadilan yang dikaitkan menyentuh atau bernada serangan terhadap beberapa pemimpin.
"Keputusan MPP ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada lima orang untuk kemudiannya berjumpa dengan kumpulan Suara Keadilan bagi mengumpulkan maklumat, latar belakang dan mendengar pandangan mereka," katanya di sini, Rabu.
Jelas Saiduddin, PKR hanya akan bertindak selepas mendapatkan fakta lengkap terhadap siasatan yang sedang dijalankan itu.
"Kalau nanti mereka menemui maklumat seperti surat guaman dan sebagainya ke atas Suara Keadilan, jawatan kuasa itu akan bawa saranan kepada pimpinan pusat.Buat masa ini belum terima.
"Saya dengar begitu (saman Suara Keadilan)...hanya diberitahu melalui SMS. Tapi belum tengok sendiri lagi surat peguam itu," katanya.
Sebelum ini timbul laporan di media bahawa Suara Keadilan diarahkan PKR memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel Hishamuddin sebagai kolumnis lidah parti itu yang bertajuk “Khalid dan Azmin” kerana dikatakan memfitnah Azmin.
Artikel itu disiarkan Suara Keadilan bilangan 160 pada 11 Februari lalu.
Artikel tersebut menganalisis dan menerangkan kemelut yang melanda antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam artikel itu, Hishamuddin menyifatkan Azmin masih mempunyai unsur dan ideologi Umno dan kurang disenangi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.- mStar
No comments:
Post a Comment