Selasa, 10 Jun 2014 08:05
Oleh Badrul Hisham Shaharin
Baru - baru ini Malaysia dikejutkan dengan kenyataan Tan Sri Sabaruddin Chik yang 'dipecat' dari kerusi Pengerusi Bank Rakyat. Pemecatan Sabaruddin dikatakan berkait rapat dengan kegagalan beliau menyakinkan semua lembaga pengarah untuk meluluskan pinjaman sekitar RM40 juta (ada sumber menyebut RM32juta) tanpa faedah selama 30 tahun.
Apa yang menariknya ialah pinjaman tersebut adalah untuk seorang ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishnan. Tentu Malaysia tidak lupa bagaimana beliau muncul mendedahkan bagaimana beliau terlibat dalam operasi pembunuhan Altantuya seorang gadis yang terkait dengan skandal pembelian kapal selam negara yang mana ketika pembelian tersebut Najib Tun Razak (suami Rosmah) merupakan Menteri Pertahanan.
Deepak cukup rapat dengan Rosmah sehinggakan wujud sebuah 'novel pendek' bertajuk Ros Hitam yang dikatakan ditulis oleh Deepak menceritakan detik pembunuhan Altantuya dengan mendedahkan sekali dokumen (resit) pembelian barang kemas yang berkaitan watak Ros Hitam (watak yang difahami umum merujuk kepada Rosmah).
Pendedahan Deepak diketahui kerana janji laluan atau bantuan perniagaan kepadanya yang tidak ditunaikan. Ia jelas dengan bagaimana serentak dengan itu ia membuat pendedahan berkenaan rundingan tanah dan seumpamanya.
Namun selepas itu Deepak diam semula. Maka persoalan muncul adakah dia sudah mendapat habuan tertentu?
Kemudian, apabila muncul kenyataan Pengerusi sebuah bank dipecat ekoran kegagalan menyakinkan lembaga pengarah untuk memberikan pinjaman mudah tanpa faedah selama 30 tahun berkaitan Deepak sudah tentu semua akan tertanya - tanya, adakah ini sebahagian dari pakej tutup mulut terhadap apa yang berlaku ?
Najib harus tampil menjelaskan sekali lagi perkara ini. Sampai bila keselamatan negara termasuk wang rakyat menjadi taruhan terhadap misteri pembunuhan yang tidak selesai.
Tahukah kita juga kes pembunuhan Altantuya di mahkamah juga tergantung apabila rayuan di Mahkamah tertangguh kerana suspek pembunuhan telah gagal dikesan. Persoalan yang lebih penting ialah dua suspek itu tidak punya motif untuk membunuh Altantuya. Maka siapa arahkan pembunuhan itu berlaku masih menjadi tanda tanya.
Solidariti Anak Muda Malaysia mengajak rakyat memandang serius perkara ini. Ia melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan undang - undang dan juga memberikan kesan ekonomi pada negara.
Sekian.
BADRUL HISHAM SHAHARIN ialah Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter
No comments:
Post a Comment