11 June 2014

Hasan Ali Kembali Ke PAS

alt


KUALA LUMPUR 11 Jun - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali dikatakan akan menyertai semula parti itu selepas dipecat keahliannya pada Januari 2012.

Menurut sumber parti itu, kemasukan semula Hasan mungkin boleh berlaku apabila dikatakan wujud usaha dalaman yang digerakkan beberapa kepimpinan Pas termasuk anak-anak kepada pengasas serta golongan veteran bagi 'memperbetulkan' semula Pas supaya tidak tersasar jauh daripada matlamat dan perjuangan asalnya sebelum ini.

Katanya, usaha dalaman itu difahamkan dibuat atas perkiraan perkembangan politik semasa ketika ini termasuk kesan-kesan lain yang terpaksa dihadapi Pas ekoran kerjasama parti tersebut dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sesuatu isu yang ada kalanya tidak selari dengan matlamat asal parti berkenaan.


"Memang tidak dapat dinafikan Pas ketika ini dilihat sedikit demi sedikit telah lari daripada matlamat perjuangannya seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti apabila mengadakan kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

"Malah ada pemimpin daripada parti sekutu Pas secara terang-terangan menolak pelaksanaan hudud yang merupakan antara agenda perjuangan Pas selain isu-isu yang melibatkan soal agama dan perpaduan umat Islam. Atas sebab itulah dikatakan wujudnya usaha dalaman bagi memperbetulkan semula Pas agar tidak terpesong daripada landasan asal perjuangannya.

"Usaha dalaman ini juga mungkin akan melibatkan usaha menarik semula Hasan ke dalam Pas bagi bersama-sama memperbetulkan semula parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah sumber itu, usaha dalaman tersebut juga adalah untuk menyokong Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika ini dilihat berseorangan dalam memastikan Pas terus mengikut perjuangan asalnya sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti tersebut.

Menurut sumber itu, usaha Abdul Hadi difahamkan tidak disambut begitu baik oleh sebilangan kepimpinan Pas ketika ini.

Sementara itu, Hasan ketika dihubungi menyatakan beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai wujudnya usaha dalaman tersebut sebagaimana yang didakwa.

"Saya tidak ada dengar mengenai perkara ini (usaha untuk menarik beliau ke dalam Pas semula). Perkara ini tidak sampai ke pengetahuan saya.

"Jika ada pelawaan, saya akan fikirkan. Banyak perkiraan perlu dibuat sebelum memutuskan perkara itu," ujarnya.

3 comments:

Anonymous said...

Hati-hati PAS perlu diingat, ada pelbagai cara menghancurkan atau melumpuhkan PAS oleh musuh islam. PAS masih seperti yang dulu namun ia berada dalam zaman yang berbeza seperti yang berlaku kepada dunia dalam perubahan teknologi. Pas tetap pas yang memperjuangkan islam. Istiqamahlah pas.

Anonymous said...

Muka tak malu kalau benar ,PAS pun serupa macam sudah tiada manusia lain untuk diambil jadi ahli walau pun telah diceraikan dengan talak yang tak mungkin boleh dirujuk. itulah sifat kepimpinan PAs yang ada sekarang.

Anonymous said...

Kalau benar Hassan Ali mahu dimasukan semula kedalam parti PAS, kan tercalar wajah parti itu diseluruh Malaysia kerana kemasukan itu seolah-olah PAS sudah jadi parti UMNO Baru yang ketandusan pemimpin yang berkelibar. Hanya orang tua yang tunggu mati saja terpaksa dikekalkan jadi pemimpin.

Propaganda ini tidak akan berhasil malah akan menjadi lawak jenaka anak muda kerana politik hari ini adalah untuk pelapis bukan orang tua semumpama Hassan Ali yang perlu dikutip semula.

Kesian tengok para pejuang 'UG' walaupun berusaha keras namun kekal jadi lebai malang dalam parti PAS.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive