21 November 2014

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Bebas Tuduhan Khalwat


Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran, 46, dan pasangan Nurul Ezani Mat Isa, 37, (kiri) tersenyum semasa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah selepas mereka dibebaskan daripada tuduhan khalwat pada empat tahun lepas di George Town, Jumaat. -fotoBERNAMA



GEORGE TOWN: Seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan seorang penasihat kewangan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Ini adalah kali kedua Adam Tumiran, 46, dan Nurulezani Mat Isa, 37, dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Pasangan itu sebelum ini dibebaskan pada 17 Mei 2012, oleh mahkamah yang memutuskan bahawa sijil perkahwinan yang dikemukakan adalah sah.


Walau bagaimanapun, pada 30 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan Syariah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perbicaraan semula atas alasan teknikal.

Adam dan Nurulezani didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kuarters kerajaan di Jalan Masjid Negeri di sini pada 5 Disember 2010 pada pukul 2.05 pagi.

Dalam pembacaan keputusannya, Hakim Zaim Md Yudin berkata mahkamah berpuas hati bahawa tidak ada keraguan pada dokumen perkahwinan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan seperti sijil perkahwinan, dan beban bukti terletak di pihak pendakwaan untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam mendengar keputusan itu, Adam dan Nurulezani kelihatan tenang.

Selepas keputusan itu, Adam yang berlinang air matanya dilihat memeluk peguamnya.

Adam dan Nurulezani diwakili peguam Ahmad Munawir Abdul Aziz, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff dan Rosdee Abdul Razak manakala Mohd Najmuddin Mustafa dan Mohd Fahmi Mohd Idris selaku pendakwa kes itu.

Zaim juga memerintahkan wang ikat jamin RM1,000 dikembalikan kepada Adam dan Nurulezani.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive