21 September 2008

YANG INI TIDAK ADA KENA MENGENA DENGAN YANG ITU


Isu dalaman UMNO mengenai peralihan kuasa tak ada kena mengena langsung dengan gembar gembur pembangkang dakwa mereka dapat tubuh kerajaan menerusi ‘ pintu belakang’.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib tidak mahu pembangkang berangan-angan merasakan seolah apa yang berlaku dalam UMNO untuk mendokong cita-cita mereka. Beliau menyatakan demikian Sabtu ketika mengulas dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang Jumaat bahawa ahli UMNO sendiri tidak gembira dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri dan mahu beliau meletak jawatan lebih awal dari masa ditetapkan iaitu 2010.

Bercakap kepada para wartawan selepas satu majlis di Shah Alam Muhammad berkata kenyataan beberapa ahli UMNO yang mahukan peralihan kuasa Perdana Menteri dilakukan lebih awal dari tarikh ditetapkan pada Jun 2010, tidak boleh dijadikan penanda aras bagi pembangkang kononnya mendapat sokongan UMNO untuk membentuk kerajaan baru.
Beliau menjelaskan walaupun ada banyak pendapat di dalam Umno yang mengeluarkan pandangan sedemikian tetapi itu bukan bermakna ia keputusan sebulat suara parti. "Dalam mana-mana organisasi kita bebas keluarkan pendapat tapi yang penting keputusan Majlis Tertinggi Umno bersetuju supaya peralihan kuasa dikekalkan menjelang 2010, tapi sebarang perubahan dan sebagainya diserahkan kepada Presiden dan Timbalan Presiden.
"Biasanya Umno sokong pucuk pimpinan dan bukan kelaziman kepada Umno untuk suruh pemimpinnya letak jawatan. (Jika wujud perbezaan pendapat) Umno harus memperbetulkan dalaman Umno sendiri dan itu tak ada kena mengena dengan kononnya nak menyokong dia (pembangkang), nak menangkan dia.
"Adalah karut bagi mereka untuk mendakwa yang kita (Umno) nak sokong mereka pulak. Mereka nampak seperti mencampur-adukkan (isu) sehingga seolah-olah penentangan ini nak menyokong dia (pembangkang) menubuhkan kerajaan, itu tak betul" katanya.

Mengenai saranan Lim agar Perdana Menteri mempertimbangkan semula keengganannya mengadakan sidang Parlimen tergempar seperti yang diminta Pakatan Rakyat, Muhammad berkata beliau tidak nampak sebarang isu yang boleh dijadikan alasan untuk mengadakan sidang parlimen tergempar itu.
"Sebenarnya tiada keperluan untuk adakan sidang Parlimen tergempar dan Perdana Menteri telah menyarankan semalam bahawa Parlimen akan bersidang pada 13 Okt. Hanya tinggal beberapa hari lagi bukannya lagi lima enam bulan. Jadi tunggu sahajalah, apa yang penting sangat dan tiada isu yang timbul yang memerlukan sidang tergempar Parlimen (diadakan)," katanya.- [agendadaily]

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive