12 June 2009

PAS UMNO : Hadi lantik kabinet sendiri

Sebagaimana yang diramalkan, Datuk Mustafa Ali telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru.

Perlantikan ini dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusi Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bermesyuarat hari ini di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut.

Perlantikan Mustafa bermakna Abdul Hadi mahu menguatkan peranan PAS dalam Pakatan Rakyat kerana Mustafa adalah orang kepercayaan beliau dan antara negotiotor yang baik dalam PAS selain Datuk Husam Musa.

Mustafa dijangka dapat memainkan peranan yang baik dalam mewakili PAS dalam sebarang perbincangan dengan rakan-rakannya dalam PR dan akan benar-benar mewakili pemikiran presiden.

Dengan perlantikan Mustafa bermakna Abdul Hadi mendapat orang kepercayaan beliau memegang jawatan penting dalam menentukan halatuju PAS itu.

Jika dilihat kepimpinan dalam PAS, perlantikan Mustafa bermakna, tiga tokoh penting dalam pengurusan tertinggi PAS (presiden, timbalan dan setiausaha agung) kini di kalangan orang dalam sekolah pemikiran yang sama.

Bermakna, apa-apa idea atau perancangan yang akan dibuat oleh presiden PAS selepas ini akan dilaksanakan dengan baik oleh ketua pengurusan parti iaitu setiausaha agung.

Ini akan menyebabkan rakan-rakan PAS dalam Pakatan akan ternanti-nanti apakah pendekatan PAS terutama dalam isu kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Mustafa dalam sidang medianya selepas muktamar PAS ke-55 telah menegaskan agar isu kerajaan perpaduan ini jangan dibincangkan lagi kerana ia bakal mengelirukan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

Turut berada dalam jawatan yang penting dalam kabinet PAS kali ini adalah Ustaz Idris Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Sebelum ini, Idris adalah timbalan kepada Nashrudin dalam Lajnah Tarbiyah PAS, juga dikira berada dalam sekolah pemikiran yang sama dengan Abdul Hadi iaitu dalam kumpulan penyokong ulama.

Yang dikira kumpulan lain dalam kebinet kali ini adalah Dr Hatta Ramli yang dikekalkan sebagai Bendahari.

Orang kuat Mustafa sebelum ini dalam Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS yang baru.

Buat sementara sehingga perlantikan baru dibuat, Datuk Mustafa akan kekal sebagai Pengerusi Jamaah Pengarah Harakah manakala Datuk Kamarudin Jaffar kekal sebagai Pengarah Urusan Harakah.

Husam dan Haji Mohamad Sabu yang kalah dalam pertandingan timbalan presiden hanya dilantik sebagai AJK PAS Pusat bukan dalam Dewan Harian PAS iaitu badan pengurusan tertinggi dalam PAS.

Usaha dua naib presiden yang baru menang, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar agar Husam dan Mohamad dilantik dalam Dewan Harian nampaknya tidak berjaya.

Ini bermakna, Abdul Hadi sebagai presiden melantik mereka yang benar-benar boleh bekerja dengan beliau dalam kabinet PAS kali ini kecuali Dr Hatta yang dianggap kumpulan profesional atau dipanggil kumpulan Erdogan oleh media. -TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive