10 October 2008

DILEMA TONGKAT MELAYU

Dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu ada wawancara bersama Datuk Dr Zainal Kling bertajuk Tolak Sistem Politik Kelas.

Beliau menyatakan bahawa Keadilan, PAS dan DAP sekarang terpengaruh dengan idea sosialisme tentang politik kelas di dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Malaysia.
Beliau menekankan pentingnya Artikel153 dan DEB di dalam mempertahankan orang Melayu di negara kita, dan menuduh Pakatan Rakyat berhasrat menghapuskan Artikel 153. Orang Melayu yang menyokong prinsip keadilan pula dinamakan "Melayu liberal"yang tidak faham sejarah dan terpengaruh dengan Amerika, dan pemikiran mereka dibentuk oleh MCA dan DAP.

Pertama sekali, kami tidak menganjurkan agar artikel 153 dimansuhkan. Prinsip ke-10 Matlamat dan Asas Perjuangan Politik Keadilan ialah mempertahankan kedudukan Kaum Melayu dan Bumiputera.

Artikel 153 termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak kemerdekaan sedangkan DEB diperkenalkan selepas tragedi 13 Mei 1969. Kami mengiktiraf sumbangan DEB di dalam memartabatkan kaum Melayusehingga lahirnya kelas menengah Melayu.

Tetapi andaian asas DEB mahu melahirkan orang Melayu yang berdikari. Malah watak utama di dalam melakar DEB, Tun Dr Ismail Abdul Rahman membuat andaian yang lebih mendalam: beliau menyatakan bahawa orangMelayu sendiri akan mengenepikan hak istimewa apabila mereka semakin yakin dan terdidik kerana ia hanya relevan ketika orang Melayu terpinggir ke belakang.

Siapa yang buta sejarah?

Malah Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri, yang dipuji Zainal, berkata pada Julai 2002 di dalam ucapannya kepada Harvard Club Malaysia:

"Malangnya mereka (kaum Melayu) berpendapat tongkat mereka adalah simbol keistimewaan mereka di negara ini. Yang menyedihkan, mereka tidak menggunakan tongkat itu pun dengan betul. Natijahnya, mereka tidak mendapat apa-apa ataupun sedikit sahaja daripada bantuan-bantuan ini…

"Jadi apakah Dilema Baru Melayu? Dilema lama mereka ialah sama ada mereka perlu mengubah sedikit realiti agar dapat membantu diri mereka sendiri. Dilema baru ialah sama ada mereka patut membuang atau tidaktongkat yang mereka telah terlalu biasakan, sehingga menjadi keadaan yang mereka amat banggakan.

"Kini wujud minoriti Melayu yang yakin untuk membuang tongkat ini, walaupun secara beransur-ansur.Tetapi mereka cuma minoriti kecil… Mereka umumnya dianggap pengkhianat bangsa…"

Dilema yang dihadapi golongan kecil yang mahu melahirkan sebuah kaum Melayu yang gagah, tegar dan bebas tanpa tongkat ialah mereka berkemungkinan besar menjadi tidak popular dan hilang keupayaan mengubah budaya dan sistem nilai yang diperlukan. Nampaknya mereka tidak patut mencubanya pun, tetapi mereka tahu tanpa perubahan budaya orang Melayu akan gagal.

Apa yang kami anjurkan ialah untuk mempertahankan hak istimewa orang Melayu tetapi menggantikan DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia yang akan menjurus kepada membantu semua rakyat Malaysia berdasarkankeperluan.

Adakah orang Melayu yang kini sudah ada kelas menengah akan rugi? Orang Melayu dari golongan petani, nelayan dan pekerja akan dibela secara lebih menyeluruh. Saya setuju orang Melayu merupakan majoritiyang terpinggir, maka sudah semestinya merekalah akan menjadi penerima utama bantuan ini. Tetapi orang Melayu yang sudah ke Oxford atau menjadi anak Menteri - mereka sewajarnya mampu bersaing dengan rakyatMalaysia yang lain. Bukan mendapat pinjaman secara mudah ataupun saham-saham Bumiputera.
Sekarang orang UMNO sahaja yang membolot begitu banyak saham, rumah murah dan kontrak. Itu pun yang menguasainya pemimpin UMNO sahaja, ahli di bawah cuma mendapat sisa-sisa.

Kedua, kita juga harus berlaku adil kepada rakyat Malaysia yang lain. Saya rasa Zainal seharusnya kembali membelek al-Quran:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesraantara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." [al-Hujurat, ayat ke-13]

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah MahaMengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." [al-Maidah, ayat ke 8]

Zainal perlu sedar, Islam jauh mendahului tamadun Barat apatah lagi ideologi sosialis atau liberal (pandangan sosialis dan liberal juga tidak diulas Zainal, apatah lagi bezanya idea sosial demokrat yang terus bertahan berbanding sosialis) dari sudut pandangan kesaksamaan manusia. Ayat dari surah al-Hujurat tersebut diturunkan sebaik sahajapenaklukan kembali kota Mekah oleh Rasulullah s.a.w. Bilal ibnu Rabbah, sahabat baginda yang berasal dari Habsyah dan berkulit hitam, telah ditugaskan untuk melaungkan azan dari atas Kaabah, satu penghormatan cukup istimewa dalam sejarah Islam. Tetapi golongan musyrikin melihat ini sebagai satu penghinaan, sehingga seorang daripada mereka berkata beliau bersyukur bapanya tidak hidup untuk menyaksikan peristiwa ini. Seorang lagi menyelar Rasulullah s.a.w. kerana membenarkan 'gagak hitam' tersebut melaungkan azan dari atas Kaabah.

Turunnya ayat tersebut bagi menegaskan kesamarataan manusia. Ayat al-Maidah pula diturunkan bagi mengingatkan umat Islam, sekalipun kita membencikan sesuatu kaum, kita tidak dibenarkan mengingkari anjuran Allah s.w.t. untuk mendaulatkan keadilan untuk semua.
Malah, di dalam khutbah terakhir Rasulullah s.a.w., baginda bersabda:

"Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal saleh."

Ketegasan Islam dalam kesamarataanlah yang menjadi antara kunci perkembangan pesat Islam sehingga zaman kegemilangan tamadun Islam. Golongan bukan Islam, khususnya ahlul kitab mendapat layanan baikmelebihi daripada pengalaman mereka di Eropah waktu itu. Di Eropah, golongan Yahudi disisih dan ditindas, tetapi di dunia Islam mereka turut serta sebagai sarjana, pentadbir malah tentera.

Apabila al-Andalus (Sepanyol) jatuh ke tangan Kristian pada kurun ke 15, umat Islam dan Yahudi ditindas. Mungkin tidak mengejutkan bahawa umat Islam ramai berhijrah ke negeri-negeri Islam, tetapi kaum Yahudijuga membuat pilihan yang sama sehingga Salonika (di Yunani) di bawah Kerajaan Uthmaniyyah menjadi antara bandar Yahudi terbesar di Eropah. Malah, kemajmukan Salonika musnah dengan berkembangnya nasionalisme di Yunani, fasisme Nazi dan juga Turki di bawah Mustafa Kamal Attaturk!

Oleh sebab itu, anjuran berlaku adil kepada semua bukanlah sesuatu yang berasal dari Eropah, tetapi sebahagian dari ajaran Islam. Oleh sebab itu, prinsip membantu golongan yang tersisih tanpa mengira kaumjuga selaras dengan ajaran agama kita.

Saya setuju masih banyak perlu dilakukan untuk integrasi kaum. Saya berharap golongan bukan Melayu dapat memikirkan cara-cara memartabatkan Bahasa Melayu, cabaran perpaduan hasil sekolah-sekolah vernakular dan benar-benar membantu orang Melayu untuk menjadi usahawan berjaya dalam usaha memperkemaskan perpaduan di negara kita. Perubahan ini memerlukan semua pihak memainkan peranan.

Tetapi kedudukan politik orang Melayu tidak terancam. Ya, kedudukan Umno terancam, tetapi bukan kedudukan politik Melayu. Ahli Parlimen Melayu bertambah daripada 123 kepada 130 pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu akan tidak dikompromikan sama sekali. Malah dengan adanya persaingan politik yang sihat, UMNO sepatutnya dikejutkan dari lena yang panjang dan kembali berusaha kepada apa yang didakwa 'tradisi' mereka: membela rakyat.

Namun untuk menjadikan DEB itu sebagai sesuatu yang suci dan tidak boleh dipersoalkan menunjukkan Zainal masih terperangkap di dalam politik lama. DEB bukan al-Quran, tetapi ciptaan manusia yang ikhlas mahu memartabatkan bangsa mereka dalam cabaran zaman tersebut. Kini kita perlu ikhlas mencapai matlamat sama, walaupun jika caranya berbeza selari dengan tuntutan zaman ini. Itu perlu dinilai secara kritis. Keengganan mempertimbangkan cara lain melambangkan kejumudan, sedangkan Islam menuntut kita sentiasa emperbaiki diri kita.

# Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive