Oleh G. Manimaran
November 06, 2011
KUALA LUMPUR, 6 Nov — Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan Menteri Pengajian Tinggi seolah-olah bertindak bias sambil menegaskan, beliau juga sanggup untuk muncul di pentas Umno jika parti itu bersedia mendengar pandangannya.
Malah tegas Aziz, apa yang diperkatakan beliau selama ini masih “dalam kerangka dan idea” yang sering dibawa timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah, yang mengetengahkan pandangan progresif berkenaan pembaharuan politik tetapi tidak diterima banyak pihak dalam Umno sendiri.
Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan Aziz (gambar) meletakkan jawatan sebagai ahli akademik jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik.
Khaled berkata, Aziz, yang sedang disiasat oleh tiga pihak termasuk UIA sendiri, tidak perlu menunggu tindakan universiti tersebut.
Tambah Khaled, universiti adalah institusi yang mengutamakan pencapaian akademik dan perlu berada dalam keadaan neutral demi mencapai matlamat menjayakan bidang pendidikan.
Sehubungan itu, Aziz menyoal apa sikap menteri berkenaan dalam kes-kes ada profesor yang menyediakan ucapan dasar presiden Umno.
“Apa sikap menteri ke atas profesor yang secara terbuka menuduh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meliwat? Apa sikap menteri kepada profesor yang menjadi penceramah BTN (Biro Tata Negara) dan Islam Hadhari yang kesemuanya adalah dasar dan politik Umno,” kata Aziz dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider hari ini.
Malah Aziz juga berkata, “tidakkah Umno memberi beberapa orang profesor anugerah parti, tidakkah itu bermakna telah mempolitikkan akademik?”
Tambah Aziz, beliau hanya bercakap mengenai dasar-dasar dan politik yang selaras dengan ideal dan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau ini dituduh berpolitik, saya fikir kita buang saja Perlembagaan ini dan jadikan negara ini negara diktator atau negara satu parti,” kata pakar perlembagaan ini sambil menegaskan, “saya fikir apa yang saya lakukan masih dalam kerangka dan idea yang sering dibawa oleh timbalan Khaled.”
Aziz menambah, Saifuddin yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno sudah lama membawa idea seumpama.
Dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan awal minggu lalu dalam kes bekas pelajar berkaitan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Aziz berkata, beliau fikir Khaled sedia mengetahui bahawa di sisi undang-undang berpolitik, sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah pada 31 Oktober lalu, dibenarkan dan peruntukan AUKU yang melarang diisytihar tidak sah.
“Kalau mahasiswa boleh berpolitik, takkan pensyarah tidak?” katanya lagi.
Aziz juga berkata, beliau bukan berpolitik secara aktif, sebaliknya hanya memberi pendapat yang kebetulan ada orang mahu dengar dan bersedia untuk muncul di pentas Umno jika sanggup mengaturkan kemudahan sedemikian.
“Saya alu-alukan jika orang Umno mahu dengar,” katanya lagi.
“Walaupun menteri tidak setuju dengan apa yang saya dan mungkin timbalannya Saifuddin, saya rasa apa yang saya kata dibenarkan oleh Perlembagaan dan tidak menyalahi Akta Hasutan,” kata Aziz lagi.
Dalam kenyataannya semalam, Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang menambah, beliau sedar Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat Johor Baru kelmarin, tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.
Aziz pula menjawab, “saya pun tidak tahu itu adalah kawasan Khaled.”
Aziz berucap pada ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat, komponen Pakatan Rakyat.
Ia bukan kali pertama Aziz menghadiri ceramah dan forum anjuran parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.
Tambah Khaled, antara yang hadir adalah ahli Umno Pasir Gudang sendiri yang mahu mendengar hujah profesor itu yang kini dalam siasatan UIA berikutan kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja awal Ogos lalu.
Aziz juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Siasatan polis dan UIA dilaporkan sudah selesai - The Malaysian Insider
3 comments:
Salam, ini adalah hujah seorang yang memahami ilmu yang dia tahu membalas ugutan seorang yang bercakap tanpa mengetahui dia tidak mempunyai ilmu yang sebenarnya dia tidak punyai...
memang sedih bila seorang menteri pengajian tinggi bercakap guna emosi bukan fakta,malu dan rasa hina yg teramat sangat kalau aku tinggal di parlimen menteri ini,kalau nak bodek sekalipun,,bukanlan membangkang prof aziz,mana integriti kamu?mana daya intelek kamu?sekurang2 malulah ngan anak bini kamu...matikah kamu kalau tidak memberhalakan pemimpin kamu,sengkek benarkah kamu?semua orang nampak kamu adalah seorang menteri yg bodohhh,dalam sangkaan kamu saja yg pandai...mengaku sajalah bahawa kita makhluk memang ALLAH dah letak sifat bodoh,lemah,hina dan miskin...kembalilah kejalan yg benar sementara nyawa belum sampai ke kerongkong,,jangan lah kamu membodek sesama makhluk sehingga menggadai maruah dan harga diri,,bacalah AL-QURAN dan paham betul2 tentang apa yg ALLAH tegah..pemimpin yg kamu bodohkan diri tak boleh bagi shafaat bila dialam yg satu lagi...minta ampun dengan ALLAH...bukan ngan rosjib.
Akupun tak tahu siapa bos UIA, Datuk Saifuddin atau bos dia Datuk Seri Khalid Nordin. Rasa-rasa, pada aziz bari, bos kementerian pengajian tinggi ialah DAtuk Saifuddin. Silap hari bulan, bajet UIA tahun depan mungkin sikit.
Post a Comment