26 November 2008

MBI Siasat Wujud Terowong Bawah Tanah Di Ipoh

IPOH, 26 Nov (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menyiasat kewujudan sebuah terowong yang dipercayai menghubungkan empat buah bangunan warisan dibina dalam lingkungan dua kilometer persegi di sini.
Datuk Bandar Ipoh, Mohd Roshidi Hashim berkata, dipercayai terowong berkenaan dibina semasa zaman penjajahan British dan dakwaan tersebut dipercayai berasas memandangkan keempat-empat bangunan ini dalam rekabentuk yang seakan-akan sama.
"Terowong yang dikatakan dibina sekitar tahun 1900, dipercayai menghubungkan Bangunan Stesen Keretapi, Dewan Bandaran Ipoh, Balai Polis Ipoh dan bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh yang terletak berhampiran.
"Kita akan siasat perkara ini dan jika dakwaan ini benar, terowong ini bakal dijadikan satu lagi tarikan kepada pelancong yang datang ke bandar raya ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MBI di sini, Rabu.
Beliau berkata MBI bersedia bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang mempunyai kepakaran dalam bidang membangunkan semula warisan sejarah.Mohd Roshidi berkata bahagian Kejuruteraan Bangunan MBI akan menyiasat terowong berkenaan berpandukan sebuah pintu masuk yang terletak di Bangunan Dewan Bandaran.
"Terdapat maklumat mengatakan pintu tersebut menuju ke laluan terowong berkenaan tetapi sehingga kini belum ada kakitangan yang dibenarkan masuk disebabkan faktor keselamatan," katanya.Katanya MBI akan membuat taklimat khas kepada kementerian itu mengenai penemuan tersebut dan satu kertas kajian akan disiapkan bagi perbincangan khusus mengenai kewujudan terowong ini.-- BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive