18 November 2008

Raihan, Rabani dan Hijaz berakar umbi dari al-Arqam

Jimadie Shah Othman Nov 18, 08 5:03pm

Bukan sahaja bidang perniagaan, bekas-bekas pengikut al-Arqam yang diharamkan sepuluh tahun lalu didakwa turut bergiat dalam bidang seni suara melalui kumpulan-kumpulan nasyid.Kumpulan-kumpulan terkenal seperti Raihan, Rabbani dan Hijaz didakwa berasal berasal daripada kumpulan nasyid yang didokong al-Arqam seperti Nada Murni dan The Zikr.
Malaysiakini difahamkan, ahli-ahli kumpulan Nada Murni berpecah membentuk Hijaz dan Rabbani manakala The Zikr pula membentuk Raihan.Sumber-sumber yang pernah bergiat bersama salah sebuah kumpulan itu memberitahu, Nada Murni dan The Zikr bergerak aktif pada tahun 90-an.
Mereka pada mulanya menyanyikan lagu-lagu ketuhanan semata-mata seperti Asmaul Husna tanpa membawa ideologi al-Arqam dan pemimpinnya Ashaari Muhammad.
Bagaimanapun, ketika Ashaari berada di luar negara bagi mengelakkan ditangkap pihak berkuasa, kumpulan ini mula menyuarakan ideologi mereka dengan menghasilkan lagu-lagu seperti 'Bila Abuya Pulang'.

'Sajak kematian'
Ashaari digelar sebagai Abuya, panggilan hormat bermaksud "ayahanda" di kalangan pengikut al-Arqam.Isu al-Arqam timbul kembali apabila bekas penasihat undang-undang al-Arqam, Zabidi Mohamed kelmarin dilaporkan mendakwa 'Sajak Kematian' diterbitkan syarikat yang diusahakan bekas pengikut kumpulan tersebut.
Zabidi turut mendakwa VCD 15 minit itu yang menjadi kontroversi itu bertujuan menyebarkan propaganda ajaran al-Arqam.
Penerbitnya Mawaddah Publication ketika dihubungi mengakui perkara itu.Pegawai perhubungan awamnya, Alifi Alias, bagaimanapun berkata: "Al-Arqam sudah mati dan berkubur".Alifi turut mempersoalkan kewajaran kegiatan mereka menerbitankan video tersebut dipolemikkan sedangkan terdapat juga bekas ahli-ahli al-Arqam lain dibenarkan bergerak dalam bidang lain seperti nasyid.

Bidang perniagaan

Bagaimanapun, berhubung dakwaan itu, sumber-sumber yang dekat dengan ketiga-tiga kumpulan ini mendakwa Raihan, Rabbani dan Hijjaz "telah pun seratus peratus bersih".Walaupun terdapat bekas ahli al-Arqam yang membentuk Rufaqa Corporation selepas pertubuhan itu diharamkan, cuba menghubungi mereka supaya bergiat kembali, tetapi permohonan itu ditolak.Rufaqa Corporation yang beroperasi di Rawang turut diharamkan beberapa tahun lalu kerana didakwa mengamalkan ajaran al-Arqam, Aurad Muhammadiah.
Ketiga-tiga kumpulan ini sebaliknya didakwa mahu memfokuskan kepada bidang perniagaan sahaja.Sumber-sumber berkata, pada mulanya sebagai bekas ahli sebuah pertubuhan yang diharamkan kerajaan, pergerakan mereka pada mulanya "perit".Dalam album pertama Raihan, 'Puji Pujian' hampir sepuluh tahun lalu, lirik lagu-lagu mereka dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). -- malaysiakini

Penjelasan kumpulan Raihan, Rabani dan Hijaz...

Jimadie Shah Othman
Tiga kumpulan nasyid terkenal - Raihan, Rabbani dan Hijaz - yang berakar umbi daripada pertubuhan al-Arqam yang diharamkan sepuluh tahun lalu, menjelaskan bahawa "mereka telah bersih sepenuhnya ".
Pengaruh ajaran al-Arqam yang diharamkan seperti Aurad Muhammadiah juga didakwa tidak tersebar dalam dunia hiburan nasyid arus perdana tanah air.Anggota Raihan, Abu Bakar Md Yatim yang pernah terlibat dalam pertubuhan itu berkata, penglibatan mereka dalam al-Arqam sebelum diharamkan pada 1994, lebih bersifat "ikut-ikut saja".
Tidak menafikan wujudnya kekeliruan ketika bergiat di dalam pertubuhan itu, Abu Bakar berkata, mereka ketika itu cuma hendak mengamalkan ajaran Islam seperti tidak meninggalkan solat dan menutup aurat.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua ahli kumpulan mereka pernah menganggotai Arqam, sebaliknya hanya beliau dan Amran Ibrahim sahaja kini merupakan bekas ahli pertubuhan itu.
Dua lagi anggota kumpulan terkenal itu ialah Che Amran Idris dan Zulfadli Mustaza.Abu Bakar yang juga bekas ahli The Zikr - sebuah kumpulan nasyid 'lagenda', selain Nada Murni yang dipengaruhi Al-Arqam - berkata, sepanjang pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tiada kumpulan yang dapat dikenalpasi mengikuti ajaran negatif kumpulan itu.
‘Suka hiburan Islam'
Menurutnya, agensi agama itu memantau lirik dan penyampaian kumpulan-kumpulan nasyid yang berasal daripada pertubuhan pimpinan Ashaari Muhammad itu.
Abu Bakar turut menafikan terdapatnya pengaruh ajaran itu di kalangan kumpulan nasyid tidak terkenal yang bergerak secara underground."Kebanyakan mereka ini orang muda yang berpelajaran, suka hiburan Islam, lebih kepada pengaruh muzik. Mereka ini sukakan hiburan. Macam kami, memang kami suka menyanyi di samping ingin berdakwah.
"The Zikr ditubuhkan awal 90-an dan bergiat lebih lima tahun selepas itu. Ahli-ahlinya kemudian membentuk kumpulan baru Raihan.
Kumpulan ini mendapat sambutan hangat. Album pertama mereka, 'Puji Pujian' terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia.
Sementara itu, seorang ahli kumpulan Rabbani, Mohd Asri Baidul berkata kumpulannya tidak lagi mengamalkan ajaran-ajaran yang tidak baik pertubuhan itu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Asri Ubaidullah berkata, stigma mereka sebagai bekas ahli al-Arqam memang tidak boleh disorok lagi.
‘Proses tapisan'
Rabbani dianggotai sembilan anggota - kesemuanya bekas ahli al-Arqam - pernah bergiat dalam Nada Murni, sebuah kumpulan nasyid terkenal tajaan al-Arqam.Ia ditubuhkan pada 1987 dan menghasilkan menerbitkan lebih 200 lagu dalam 20 album. Kumpulan ini dibubarkan apabila ahli-ahlinya keluar daripada al-Arqam dan membentuk dua kumpulan baru -- Rabbani dan Hijaz.
Menceritakan pengalamannya dalam al-Arqam, beliau berkata, karya-karya mereka di dalam pertubuhan itu harus mengalami proses tapisan "orang-orang tertentu" dalam majlis kebudayaan al-Arqam sebelum boleh diterbit dan dipersembahkan."Kalau karya Ashaari senang saja, kalau kita sendiri yang tulis, mesti ditapis," kata Mohd Asri.
Beliau bagaimanapun mengakui Ashaari memang seorang penulis yang prolifik. Daripada lebih 200 lagu-lagu dendangan Nada Murni, separuh daripadanya, termasuk liriknya, ditulis oleh Ashaari.
Namun, tambahnya, hanya beberapa lagu sahaja yang bersifat propaganda pertubuhan itu seperti 'Bila Abuya Pulang' dan 'Malaysia Indah'.
‘Salah sangka'
Anggota Hijjaz, Ismen Nadim Isam pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau tiada lagi pengaruh ajaran al-Arqam dalam kumpulan itu.Mereka bahkan mengelak merakamkan semula lagu-lagu dan menggunakan lirik Ashaari dalam album-album mereka.Bagaimanapun, tambah Ismen, pendengar selalu salah menyangka dan mendakwa mereka menyanyikan lagu-lagu Ashaari."Itu tidak benar," katanya.
"Terdapat juga (lagu) yang kami buat sendiri."Kerajaan mengharamkan al-Arqam sepuluh tahun lalu berikutan atas dakwaan kegiatan dan ajaran sesatnya menggugat ketenteraman negara.Pengikutnya kemudian didakwa masih berpegang dengan ajarannya dan berselinding di sebalik sebuah perniagaan Rufaqa Corporatian yang kemudiannya turut diharamkan. -- malaysiakini

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive