Oleh Alan TingKUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- "Mereka sudah terasak ke dinding. Mereka tiada lagi pilihan," komen timbalan presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn ketika menyifatkan langkah Pakatan Rakyat mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sebelum mendapat perkenan diraja.
Beliau berkata langkah terdesak itu mungkin didorong oleh khabar-khabar angin bahawa lebih daripada dua ahli dewan negeri (Adun) telah melompat ke Barisan Nasional (BN).
Dua jam selepas itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman yang ditunggu-tunggu, dengan mengisytiharkan bahawa BN mempunyai bilangan anggota untuk membentuk kerajaan negeri selepas tiga Adun dari Pakatan Rakyat (PR) keluar menjadi anggota bebas dan mengikrarkan sokongan mereka kepada BN negeri.
Pihak Istana masih belum mengumumkan sama ada Sultan telah memberi perkenan terhadap permintaan Menteri Besar untuk membubarkan dewan undangan negeri (DUN).Bagaimanapun, pemerhati dan peramal politik berpendapat PR berada di tapak yang lemah bagi pembubaran DUN.
Penganalisis politik percaya kerajaan negeri PR goyah selepas Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hingga mendorong BN menarik beberapa Adun dari PR menyertainya.
Nasaruddin, anggota Umno, 10 hari lepas mengumumkan beliau telah keluar dari BN untuk menyertai PR.Seorang ahli politik kanan pembangkang percaya Nasarudin memegang "kunci" kepada tumbangnya kerajaan PR di Perak bila beliau memutuskan untuk membuat pusingan-U kembali kepada Umno hari ini.
"Kita mempunyai 29 kerusi sekalipun dengan tindakan melompat parti...jadi tak ada sebab bagi BN menawar untuk membentuk kerajaan," kata seorang pemimpin pembangkang.Tetapi bila diberitahu bahwa Nasarudin telah melompat balik ke BN, beliau berkata, "Aiyoo, ya ka...saya fikir kita sudah kena main kali ini".
"Ini bererti kami ada 28 dan mereka (BN) dapat 32 (termasuk empat yang berpaling tadah). Saya akan hantar kenyataan bertulis jika itu halnya," kata beliau.Bagaimanapun, sesetengah pemerhati percaya tumbangnya kerajaan negeri adalah akibat tindakan melompat parti oleh tiga Adun berkenaan.
Menyentuh rancangan membentuk kerajaan negeri, mereka menarik perhatian kepada tiadanya wakil India dalam Kerajaan BN yang bakal dibentuk.Seorang pemerhati berkata, semua empat calon MIC yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008 di bawah sepanduk BN, tewas."Di bawah PR, masyarakat India mempunyai seorang Speaker DUN dan seorang anggota Exco. BN mesti lakukan sesuatu untuk menampung hal ini. Sekurang-kurangnya terdapat seorang wakil terpilih dari MCA dan beliau boleh mengisi kuota Exco Cina," kata beliau.
Mengambil kira hal ini, timbul spekulasi akan berlaku lebih banyak tindakan melompat dari PR ke BN dan kali ini melibatkan beberapa Adun India.Satu lagi isu ialah orang yang akan dilantik BN sebagai Menteri Besar mestilah tidak saja "bersih tetapi juga dilihat bersih" bagi meningkatkan imejnya di negeri ini.Terdapat cakap-cakap bahawa Datuk Zambry Abdul Kadir, Adun Pangkor; dan Datuk Wan Mohd Khairil Wan Ahmad, Adun Bukit Chandan sedang dipertimbangkan untuk jawatan itu.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment