Sikap agresif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat portal berita Malasysiakini berhubung klip video demo kepala lembu dilihat sebagai satu tindakan menyelamatkan maruah Menteri Keselamatan Dalam Negeri(KDN) Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bertindak menyokong aktiviti perkauman kumpulan berkenaan.
Malaysiakini sebelum ini enggan menurunkan dua klip video berkenaan biarpun pihak SKMM mengarahkan akhbar web berpengaruh itu berbuat demikian.
Dalam satu daripada klip itu, Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno itu dilihat menyokong tindakan penunjuk perasaan itu mengheret, meludah dan memijak kepala lembu dalam cubaan memaksa kerajaan Selangor membatalkan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23.
Hanya selepas dikecam hebat di blog-blog tempatan, Hishamuddin menukar nadanya dan berkata beliau kononnya tidak setuju dengan protes itu.
Tindakan Hisham itu disusuli dengan usaha bersungguh-sungguh SKMM mahukan Malaysiakini menurunkan klip video ulasan Hisham mengenai protes kepala lembu itu dan suntingan tunjuk perasaan itu sendiri.
Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK) Shamsul Iskandar Akin melabelkan tindakan SKMM ini bertentangan dengan prinsip asas penubuhan Cyberjaya yang memberikan kebebasan dalam penggunaan rangkaian internet di negara ini.
Beliau turut mengecam kenyataan yang dibuat oleh Hishammuddin kerana tidak peka terhadap perasaan rakyat.
"Hishammuddin juga telah mendedahkan mentaliti pemimpin Umno yang teruk dan tidak bertamadun dalam menilai reaksi masyarakat," jelasnya.
"Apa yang dikatakan olehnya ternyata bercanggah dengan konsep Satu Malaysia yang dicanang oleh sepupunya," tambah beliau.
Shamsul turut membidas sikap SKMM yang menjadi alat kerajaan bagi menyelamatkan Hishamuddin.
"Ini adalah satu tindakkan terdesak dan bercanggah dengan etika perkhidmatan awam yang matlamatnya menjaga kepentingan rakyat.
Sebelum ini seramai 12 lagi kakitangan Malaysiakini disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penerbitan video berkenaan.
SKMM dalam satu suratnya mendesak akhbar web itu menarik balik dua video: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).
Beberapa NGO, termasuk di peringkat serantau, mengecam keras tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat secara intensif sekumpulan besar wartawan Malaysiakini berhubung video demonstrasi membantah kuil Hindu.
Video itu merakamkan bantahan kira-kira 50 orang, dengan mengarakkan kepala lembu yang masih berdarah, di depan bangunan sekretariat kerajaan Selangor di Shah Alam, hujung bulan lalu, berhubung isu pemindahan kuil ke Seksyen 23.
Piagam 2000 Aliran, kumpulan pemantau kebebasan media dalam NGO berpengaruh itu, menyifatkan tindakan suruhanjaya itu sebagai mempersendakan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin untuk tidak menapis Internet.
"Tindakan secara metafornya membunuh pembawa mesej juga sangat tidak menyenangkan kerana ia bertujuan menakut-nakutkan wartawan yang sedar daripada melaporkan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata penyelarasnya Dr Mustafa K Anuar dan Anil Netto dalam satu kenyataan.
Sementara Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), dalam surat bantahannya kepada SKMM, pula menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk "gangguan sewenang-wenangnya" terhadap Malaysiakini, dan sekali gus mencabuli hak bersuara dan kebebasan media.
"Seapa telah menonton video-video berkenaan, liputan Malaysiakini itu dan keadaan semasa, dan kami membuat kesimpulan bahawa Malaysiakini tidak membuat apa-apa selain melaporkan dua perkembangan berita yang sah," kata pengarah eksekutifnya Roby Alampay. - Suara Keadilan
No comments:
Post a Comment