DEC 4 — Datuk Seri Najib Razak dilihat mengambil langkah bijak apabila kabinetnya memutuskan untuk melakukan perubahan kepada program Biro Tata Negara (BTN) yang dituduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai menyemarakkan api perkauman, namun presiden Umno itu dilihat seolah-olah berhadapan dengan penentangan daripada partinya sendiri.
Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata rombakan itu yang diputuskan oleh Kabinet adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dicanangkan perdana menteri.
Walau bagaimanapun cerita rombakan BTN ini telah ditidakkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan.
Ahmad yang juga ketua penerangan Umno menegaskan bahawa program wajib untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan kakitangan kerajaan itu hanya menjalani proses naik taraf.
Muhyiddin pula berkata program BTN sememangnya sudah sedia selaras dengan konsep 1 Malaysia yang menggalakkan perpaduan kaum. Malah beliau mencabar Lim Kit Siang, seorang yang kuat mengkritik BTN supaya menyertai program itu untuk melihat sendiri.
Sebelum itu, ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil menegaskan tidak ada cacatnya dengan program BTN, malah mereka yang pernah menghadirinya menyukai program itu.
Selepas muncul pelbagai kenyataan yang berlawanan ini, Nazri sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada apa yang boleh dinafikan oleh kerajaan berkenaan BTN sambil menyatakan rancangan rombakan itu adalah keputusan Kabinet.
Tindakan rombakan BTN ini dipercayai dibuat oleh kerajaan selepas ia dijadikan senjata oleh Pakatan untuk menyerang Barisan Nasional.
Kerajaan Selangor telah bertindak mengharamkan para kakitangannya dan penuntut institusi milik negeri daripada mengikuti kursus itu atas alasan ia menggalakkan kebencian, selepas beberapa wakil rakyat muda negeri itu diketuai Nik Nazmi Nik Ahmad mendesak tindakan boikot itu.
Semakin hari, semakin banyak pendedahan dibuat tentang tindakan mengapi-apikan perkauman yang berjalan dalam program BTN bagi mewajarkan langkah pengharaman itu.
Langkah pengharaman itu, yang turut dikritik Muhyiddin sebagai tidak mempunyai asas undang-undang, dijangka diikuti oleh negeri-negeri lain yang ditadbir PR sebagai bukti komitmen kepada ideologi kesaksamaan gabungan parti-parti pembangkang itu.
Usaha merombaknya adalah satu langkah strategik kerajaan BN dalam meneutralkan satu lagi serangan PR.
Bagaimanapun, tindakan ini seolah-olah mendapat tentangan dari dalam Umno sendiri yang tidak gemar dengan usaha pentadbiran Najib yang mahu dilihat lebih inklusif.
Kepimpinan Umno dilihat menjadi begitu lemah apabila terpaksa berhadapan dengan kelompok ekstrem Melayu dalam partinya yang masih mahukan Umno kekal dengan gagasan Ketuanan Melayunya dan agenda tidak mesra kepada masyarakat minoriti.
Apa yang diperlukan sekarang adalah ketegasan Najib sendiri dengan membuat pengakuan terbuka, bahawa pentadbiran beliau sememangnya mengakui kecacatan BTN dan mahu merombaknya. — Harakah Daily
No comments:
Post a Comment