10 December 2009

Saya bukan nak ajar, tapi sayang TGNA - Mahfuz

KUALA LUMPUR, Dis 9 — Datuk Mahfuz Omar mempertahankan cadangannya kelmarin yang mahu menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman segera melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) atas alasan ia hanya dibuat demi kebaikan PAS sendiri.

Naib Presiden itu menegaskan saranannya itu bukan bermakna beliau mahu mengajar Nik Aziz, sebaliknya dilakukan demi cinta dan sayangnya terhadap parti serta Mursyidul Am PAS.

Cadangan beliau itu juga dilihat sebagai satu tekanan baru kepada Ariffahmi dan Nik Aziz.

“Tidak... (cadangan) bukan hendak mengajar sesiapa, ia satu pandangan saya kerana saya sayang pada Tok Guru (Nik Aziz)... kerana saya tidak mahu ada pihak mencerca Tok Guru atas isu ini,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagi meredakan polemik itu, Mahfuz berpendapat bahawa pengunduran segera Ariffahmi adalah tindakan paling tepat.

Kelmarin Mahfuz dalam kenyataannya menyebut adalah perlu bagi Nik Aziz selaku Penasihat PMBK, berbincang dengan ahli Lembaga Penasihat perbadanan itu supaya perkhidmatan Ariffahmi ditamatkan segera dengan dibayar sebulan gaji, tanpa memerlukan tamat notis tiga bulan.

Dipetik Bernama, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, tindakan Ariffahmi menghantar notis tiga bulan kepada perbadanan itu boleh menimbulkan kontroversi dan digunakan sebagai senjata untuk mencemuh Nik Aziz dan parti oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun cadangan Mahfuz itu mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak dan menyifatkan Naib Presiden PAS itu cuba mengajar Nik Aziz dalam isu berkenaan.

Mahfuz berkata beliau tidak mahu melihat Nik Aziz terus dikecam kerana ia bukan saja mencemarkan imej Menteri Besar itu sebagai seorang Tok Guru, malah secara tidak langsung turut memberi kesan kepada parti.

“Lagi panjang (lama), lagi banyak fitnah dan kecaman. Saya sayang sangat Tok Guru... kecaman kepada Tok Guru akan memberi kesan pada PAS,” katanya. - The Malaysian Insider

1 comment:

pis said...

cukup pelik bila blogger pakatan tak komen langsung pasal nga kor meng pertikai pembinaan masjid. agak semua glogger pakatan bukan islam kot atau tak de telur?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive