18 August 2010

Kes kerugian RM8 bilion MAS : SPRM jumpa YB Salahuddin esok


KUALA LUMPUR, 18 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi penjelasan kepada Naib Presiden PAS berhubung dakwaan agensi itu telah membocorkan maklumat kepada polis, sekali gus menjejaskan siasatan berhubung kerugian dialami MAS membabitkan RM8 bilion lapan tahun lalu.

“Saya menerima makluman daripada SPRM hari ini, bahawa mereka akan memberikan penjelasan kepada saya berhubung isu yang dibangkitkan kelmarin,” kata Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Pertemuan SPRM dan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu akan berlangsung di bangunan Parlimen petang esok.

“Saya akan memaklumkan tindakan susulan selepas itu,” katanya.

Salahuddin berkata penjelasan kemungkinan akan diberikan oleh pengarah bahagian siasatan suruhanjaya itu.

The Malaysian Insider difahamkan SPRM juga akan mengeluarkan satu kenyataan selepas pertemuan penjelasan itu.

Salahuddin sebelum ini mendakwa bahawa pendedahan maklumat sulit berkenaan kerugian RM8 bilion kepada polis menyebabkan Tan Sri Tajuddin Ramli, yang didakwa bertanggungjawab atas kerugian tersebut, sehingga kini masih tidak didakwa.

“SPRM telah mendedahkan dokumen butiran yang diberikan oleh MAS kepada PDRM untuk membantu Tajuddin supaya beliau tidak akan disiasat,” kata Salahuddin.

Salahuddin mempersoalkan tindakan SPRM mendedahkan maklumat tersebut kepada PDRM sambil menyifatkan ia bertentangan dengan Akta SPRM.

“MAS telah membuat aduan kepada SPRM mengenai penyelewengan yang berlaku tetapi yang menjadi persoalannya mengapa SPRM tidak menyiasat perkara ini.

“Sepatutnya SPRM menyiasat perkara ini bukan mendedahkan kepada PDRM dan tindakan ini menyebabkan individu yang terlibat dalam kes ini cemas,” katanya.

Salahuddin yang juga anggota jawatankuasa khas mengenai rasuah, dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, beliau akan menghubungi pengerusinya agar memanggil mesyuarat segera.

“Saya juga akan meminta SPRM agar mengambil tindakan segera,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, seolah-olah ada dalang yang melindungi Tajuddin dan pegawainya yang terlibat dalam konspirasi tersebut.

MAS mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion ketika diterajui Tajuddin antara 1994 hingga 2001 sebagai pengerusi eksekutif. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive