18 September 2010

Kes Sosilawati : Lapuran penuh dikemuka ke Jabatan Peguam Negara minggu depan

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik DatuSosilawati Lawiya dan tiga individu lain dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya yakin bahawa mereka telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti kukuh bagi mengaitkan dan mengheret suspek ke muka pengadilan.

"Polis percaya kes pembunuhan melibatkan Sosilawati dan empat rakannya itu telah dapat diselesaikan berdasarkan tindakan yang telah diambil dan bahan-bahan bukti yang telah berjaya diperoleh.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dinilai, berkemungkinan minggu hadapan...kita yakin siasatan kita punya bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam itu yang dijumpai di sekitar tempat kejadian, hanya akan diperoleh sekurang-kurangnya empat hari lagi. "Tulang-tulang berkenaan baru dihantar ke Jabatan Kimia, Hospital Kuala Lumpur semalam dan difahamkan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya empat hari untuk proses penganalisaan.

"Selepas ujian patologi itu selesai barulah kita dapat menentukan dan mengenal pasti profil DNA serpihan tulang tersebut sama ada ia milik Sosilawati dan tiga yang lain atau bukan," kata Mohd Bakri.

Beliau berkata polis juga telah menghentikan operasi mencari bahan bukti di Ladang Gadong dan Sungai Panchau, Banting, Selangor bermula hari ini, bagaimanapun anggota polis masih berkawal di tempat itu dan ia masih ditutup kepada orang ramai.

"Misi mencari bahan bukti dihentikan hari ini dan jika selepas ini kita dapati ada keperluan atau masih ada lagi benda-benda yang perlu dicari atau dilakukan, kita akan sambung lagi operasi," katanya.

Mohd Bakri berkata dua pasukan khas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi pembunuhan keempat-empat mangsa dan kes kehilangan tiga lagi individu serta seorang wanita yang mati dibunuh sebelum ini. Beliau berkata bagi kes Sosilawati dan tiga rakannya, pasukan khas tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah manakala bagi pasukan menyiasat individu hilang ia diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Risikan dan Operasi Datuk Hadi Ho Abdullah.

"Setakat ini kita telah kenal pasti suspek terlibat dalam empat kes lain iaitu tiga kes individu hilang selepas mengadakan pertemuan dengan suspek utama di mana kita tidak menolak kemungkinan mereka turut menjadi mangsa bunuh selain satu kes wanita mati ditikam di hadapan rumahnya tahun lepas," katanya.

Beliau turut memberi amaran sekali lagi kepada media terutamanya media arus perdana agar tidak melampaui batas dengan melaporkan berita yang tidak sahih dan spekulasi yang boleh menggugat keadilan.

Mohd Bakri berkata terlampau banyak artikel dan kenyataan yang memetik sumber, didapati bercanggah, tidak tepat dan diputar belit yang membolehkan pemberita dan editor bertanggungjawab dipanggil untuk memberi penjelasan atau menyatakan kewajaran berita mereka di mahkamah undang-undang nanti.

"Dakwaan mangsa disembelih, 17 mangsa dibunuh suspek, mangsa diumpan dengan cek, sungai dipenuhi dengan ratusan tulang, anjing pembunuh dan beberapa lagi dakwaan yang menggunakan sumber adalah spekulasi dan tidak menggambarkan kejadian sebenar, hanya mengganggu siasatan.

"Jangan buat andaian bukan-bukan, sebenarnya hasil pengakuan suspek - Sosilawati dan tiga rakannya diikat, dipukul dan ditikam sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai," katanya.

Beliau turut mengesahkan, setakat ini hanya lapan suspek ditahan dan polis sedang meneliti sekiranya masih ada lagi mereka yang terlibat dalam kes ini.

Katanya, pekerja kepada peguam yang kononnya bergelar 'Datuk' itu disifatkan sebagai taksub dengan ketuanya, malah ada yang telah bekerja selama 15 tahun dengan suspek tersebut.

"Suspek utama yang tidak pernah dikurnia gelaran Datuk itu telah dibekukan asetnya namun jumlahnya akan kita umumkan kelak dan suspek juga tidak meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa sebelum ini," katanya sambil menambah polis telah mengambil keterangan dan DNA keluarga kepada semua mangsa.

Beliau berkata tempoh reman lima suspek disambung hingga Khamis ini manakala tiga lagi akan tamat esok dan polis akan memohon untuk menyambung reman mereka untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah sebelum keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. -BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive