19 September 2010

"Saya sayangkannya dan hubungan kami erat macam pasangan lain ..." : Suami Sosilawati

'Bukan niat saya sembunyi daripada media'

KUALA LUMPUR: "Biasanya jika berlaku kematian ada jasadnya, ada kuburnya tetapi kami cuma ada bahan bukti mengaitkan dengan kematiannya...bayangkan perasaan kami sekeluarga dan bagaimana kami mahu menerima hakikat ini," kata suami jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, yang mahu pembunuhan kejam isterinya menerima hukuman setimpal. Ahli perniagaan berusia 48 tahun yang meminta nama dan gambarnya tidak disiarkan, berkata kejadian tidak diduga itu menyebabkannya pilu kerana tiada jasad dapat membuktikan isteri sudah meninggal dunia. “Saya masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Wati. Saya sayangkannya dan hubungan kami erat seperti pasangan lain dan tidak perlu saya gambarkan kepada umum.

“Anak juga amat sedih. Wati ibu penyayang dan sangat mengambil berat soal anak,” kata beliau yang mengenali isterinya lebih 10 tahun lalu atas urusan perniagaan sebelum menikahinya.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas empayar produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh kejam bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan perunding kewangannya, Noorhisham Mohammed, 38.

Mereka diikat, dipukul dan ditikam berkali-kali hingga mati sebelum mayat dibakar dan abunya dibuang ke sungai di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.
Mengingat detik terakhir bersama isterinya, ahli perniagaan yang muncul pertama kali membuat kenyataan media itu, berkata beliau keluar bersama Sosilawati ketika menghantarnya menghadiri perbicaraan mahkamah pada 26 Ogos.

“Wati menggunakan telefon sepanjang perjalanan tetapi saya tidak tahu dengan siapa beliau bercakap. Daripada butirannya, beliau meminta bayarannya dipercepatkan, dipercayai mempunyai kaitan dengan pen-jualan tanah miliknya sebab beliau pernah meminta pandangan saya mengenai urus niaga itu.

“Saya mengingatkannya berhati-hati dan tidak ditipu kerana mengesyaki sesuatu tidak kena dalam urus niaga berkenaan. Ini semua sudah maklumkan ketika dipanggil memberi keterangan oleh polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, selepas pertemuan itu beliau tidak lagi menemui isterinya dan hanya berkomunikasi melalui telefon, dengan panggilan terakhir diterima kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos.

“Pada 30 Ogos, Wati menelefon saya antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari tetapi sekadar perbualan biasa suami isteri. Menjelang 10 malam, saya menerima panggilannya tetapi apabila dijawab tidak kedengaran apa-apa suara. Saya menghubunginya semula tetapi tidak dijawab.

“Memang saya tidak terlintas langsung perkara buruk akan berlaku ke atasnya sehinggalah anak perempuannya menghubungi saya bertanyakan di mana ibunya,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini mereka masih menunggu keputusan rasmi ujian DNA ke atas semua bahan bukti, termasuk barangan peribadi yang ditemui di tempat kejadian sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Terima atau tidak (keputusan) itu soal lain, yang penting kita tunggu keputusan. Semua pihak harus menghormati pendirian waris untuk mengadakan ujian kedua di luar negara. Jika kedua-dua keputusan sama, saya reda dengan pemergiannya dan kita harus melakukan apa yang sepatutnya sebagai seorang Islam,” katanya.

Beliau yang juga rakyat Malaysia berketurunan Indonesia turut menjelaskan bukan niatnya mahu bersembunyi daripada media selepas kes itu terbongkar, sebaliknya tidak mahu dikenali dan meminta kehidupan privasinya dihormati.

“Selepas kes ini terbongkar, masyarakat tertanya-tanya status saya... siapa suami dia (Sosilawati) dan ke mana saya menghilang. Timbul macam-macam spekulasi sedangkan saya masih di dalam negara dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes ini, termasuk menyalurkan maklumat berkaitan.

“Saya berdiam diri dan tidak mengeluarkan kenyataan media kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan. Saya mengikut prosedur sepatutnya, malah pertemuan bersama Berita Minggu diatur, menjelaskan status saya bagi mengelak salah faham,” katanya.

Pertemuan itu turut diatur selepas beliau mendapat keyakinan mengenai perkembangan terkini siasatan, selain atas nasihat pihak tertentu.

“Kepantasan polis menyelesaikan kes ini amat dihargai. Saya turut menghargai keprihatinan rakyat Malaysia, sama ada yang terbabit secara langsung atau tidak dalam kes ini hingga pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya - BH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive