01 February 2011

Lagi Najib kecut teloq : Apakah Revolusi Arab mungkin berjangkit ke Malaysia?

oleh Mohamad Suhaimi Abdul Aziz

1 FEB 2011 — Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, dan diekori oleh negara-negara Arab yang lain.

Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga negara yang bebas dan adil. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.

Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mempedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.

Letusan revolusi ini adalah loceng amaran kepada pemimpin sombong bongkak di mana-mana negara. Pemimpin di Malaysia jangan beranggapan mereka selamanya selamat. Memerintah selama puluhan tahun memuakkan lagi rakyat terhadap pemerintahan mereka. Meskipun sistem pilihanraya di Malaysia tidak seteruk era rejim pemerintah Arab sekarang, namun ruang demokrasi tidak dibuka seluasnya untuk parti politik selain BN. Buktinya dimana-mana pilihanraya sama ada pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum, tidak sekali-kali parti pembangkang dibenarkan akses atau liputan di media. Lebih menjelekkan, pemimpin parti pembangkang difitnah, ditohmah, dihina dan dicaci sesuka hati melalui media rasmi tanpa diberi peluang mereka membela diri atau menjawab segala persoalan.

Undi pos yang dicurigai dikekalkan sebagai simpanan undi tetap BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi.

Kalau dikira tekanan, hampir semua tekanan dan ancaman dirasai oleh parti pembangkang. Himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang kebiasaannya akan disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang. Pentas ceramah diceroboh dan dirobohkan sesedap hati mereka.

ISA dan OSA pula dikekalkan sebagai agenda menakut-nakutkan rakyat. Apabila tergugat, yang menjadi mangsanya sudah pastilah pemimpin pembangkang. AUKU pula adalah pengawal keselamatan utama mahasiswa di kampus-kampus. Mangsa AUKU pasti mendapat mimpi ngeri dengan tindakan dibuang kampus, digantung pengajian atau amaran-amaran tertentu.

Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol yang naik hampir setiap tahun, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat yang dibina berpuluh tahun dianggap setinggan dan dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan.

Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka.

Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mampukah rakyat bertahan dengan kehidupan sedemikian, dan berapa lama lagikah pemerintahan ini akan terus bertakhta? Atau mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia...? - TMI

* Mohamad Suhaimi Abdul Aziz adalah naib ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive