ZAMBOANGA , 21 Mei — Anggota militan selatan Filipina yang menculik seorang ahli perniagaan Malaysia, Mohammad Nazaruddin Saidin, dilapor menuntut wang tebusan lapan juta peso (RM558,000).
Nazarudin, 38, bapa kepada enam anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina, 8 Mei lalu bagi menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di negara tersebut.
Tambah beliau, nasib rakyat Malaysia yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu juga masih belum diketahui.
Laporan media sebelum ini menyebut kumpulan penculik meminta wang tebusan pendahuluan lima juta Peso (RM348,317).
Ketua polis wilayah, Felicisimo Khu dipetik AFP berkata, kumpulan Abu Sayyaf meminta wang tebusan daripada seorang pegawai konsul Malaysia di Filipina.
Ahli perniagaan cicak tokek itu diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata berhampiran bandar Indanan di Pulau Jolo.
Khu berkata, perkara itu dimaklumkan pegawai konsul Malaysia tersebut kepada polis Indanan semalam.
Tebusan itu kini ditempatkan di sebuah kampung berhampiran yang tidak dinyatakan lokasinya, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang sebelum ini berkata, Mohammad Nazaruddin diculik selepas berada di pulau itu selama sebulan.
Ditubuhkan pada 1990-an dengan wang pembiayaan dari jaringan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, Abu Sayyaf mengaku bertanggungjawab di atas serangan-serangan keganasan Filipina termasuk pengeboman feri 2004 yang mengorbankan lebih 100 nyawa.
Kumpulan militan itu juga dipertanggungjawabkan ke atas beberapa kes penculikan melibatkan rakyat asing, ahli perniagaan tempatan dan mubaligh bagi mendapatkan wang tebusan.
No comments:
Post a Comment