07 May 2011

Murtad kerana Kristian’

K Pragalath | May 7, 2011

Kristianisasi dibuat dengan cara 'menggaram dan meragi, kata Ann Wan Seng

KUALA LUMPUR: Seorang peserta forum memberitahu bahawa Islam tergugat kerana penularan kes murtad oleh golongan Kristian.

“Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussaini Zakaria, seramai 200,000 orang Melayu Islam murtad dan ini adalah angka tiga tahun lepas,” kata Ann Wan Seng dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Beliau berkata sedemikian di forum bertajuk Islam tergugat: Apa tindakan kita? anjuran Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Pusat Islam di sini hari ini.

Seramai 200 peserta dari 35 NGO menghadiri perhimpunan pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam Se-Malaysia itu.

Tambah beliau usaha murtad yang dijalankan pihak Kristian umpama usaha menggaram dan meragi kerana ‘kita tidak nampak garam dan ragi dalam makanan tetapi boleh merasanya.

Mengulas lebih lanjut perkara ini, beliau mendakwa bahawa Universiti Malaya pernah menjadi pusat penyebaran agama Kristian ketika beliau berkhidmat di situ dalam tahun 1980-an dan Petaling Jaya pula merupakan pusat gerakan Kristian yang giat mengeluarkan risalah Kristian berbahasa Melayu.

Justeru itu beliau melihat penerbitan Injil dalam Bahasa Melayu sebagai usaha menyebarkan agama Kristian.

“Kes murtad lebih serius di Johor kerana terdapat MCA di Singapura.”

MCA merujuk kepada Persatuan Kristian Melayu.

Peranan ulama turut disentuh oleh bekas pensyarah tersebut.

Beliau membidas para ulama yang mengungkitkan isu remeh-temeh seperti nikah dalam masjid.

“Sepatutnya mereka bicara isu besar seperti perebutan mayat saudara baru.”

Sementara itu, Zainul Rijal dari Persatuan Peguam Muslim Malaysia(PPPM) menyatakan bahawa kerisauan beliau terhadap Islam bermula apabila kumpulan pendesak Cina Suqiu membuat tuntutan semasa pilihan raya umum 1999, Suruhanjaya antara agama (IFC) dan writ saman Hindraf.

“Writ itu difailkan pada 31 Ogos 2007 di England antara lain meminta agar Perlembagaan persekutuan memansuhkan sekolah dan institusi agama seperti majlis agama Islam kerana Malaysia, dakwa mereka, negara sekular.”

Selain Ann dan Zainul Rijal, Abdullah Zaik dari Ikatan Muslim Malaysia (IMM) dan Zaid Kamaruddin dari Jamaah Islah Malaysia (JIM) turut menjadi panelis.

Ahli parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dan penulis blog Mahaguru-58, Mohamad Zainol Abideen yang mewakili Perikatan Bloger Muslim turut hadir. - FMT

Baca kisah Nor Aishah murtad http://alwaysbelikethat.blogspot.com/2010/11/koleksi-kisah2-murtad-di-malaysiatt.html

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive