10 May 2011

Tindakan Utusan perbuatan jenayah - Dr Aziz Bari

KUALA LUMPUR: Pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan Utusan Malaysia menyiarkan berita yang berupaya mencetuskan api perkauman dan pertelagahan agama, merupakan satu perbuatan jenayah.

Beliau mengulas laporan di muka depan Utusan Malaysia, sabtu lalu bertajuk “Kristian agama rasmi?’ berdasarkan tulisan blog pro-Umno, Zakhir Mohamed ‘Making Christianity the official religion’.

“Jelas apa yang dipaparkan oleh Utusan itu sebenarnya cerita bohong. Berita palsu dan tidak wujud. Laporan polis sudah dibuat tapi apa hasilnya?

“Utusan boleh didakwa di bawah Akta Mesin Cetak kerana menerbitkan berita palsu. Atau didakwa dibawah Akta Hasutan. Atau didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

“Ini semua menangani perlakuan jenayah. Apa yang dilakukan oleh Utusan pada saya prima facie satu perbuatan jenayah,” katanya kepada keadilandaily.com

Dalam laporan itu Utusan mendakwa Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi telah menganjurkan pertemuan dengan paderi kristian di mana kumpulan berkenaan berdoa supaya Kristian dijadikan agama rasmi dan seorang kristian dilantik sebagai perdana menteri.

Penganjur mesyuarat tersebut, National Evangelical Christian Fellowship, bersama rakan-rakannya yang lain, Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship, bagaimanapun menafikan sekerasnya dakwaan tersebut.

Jeff Oii turut membuat laporan polis terhadap Utusan dan blog berkenaan kerana cubaan memfitnah dan berniat jahat.

Mengulas lanjut, Aziz Bari berkata, tulisan Utusan yang tidak masuk akal itu, merupakan bukti Umno panik untuk menarik simpati orang Melayu dan Islam terhadap parti itu yang dilihat semakin hilang sokongan.

“Lagipun apa isunya? Bukan kah DAP dan sekutu Pakatannya telah pun mengisytiharkan bahawa mereka akan pertahankan perlembagaan?

“Bukankah Perdana menteri sendiri kata tahun lepas bahawa peruntukan yang dimaksudkan itu telah ‘dikunci mati’? Anehnya Najib cakap lain pula sekarang.

“(Menteri kebudayaan, Warisan dan Kesenian) Rais Yatim pun dua kali lima. Mereka dah lupa atau buat-buat tak faham perlembagaan,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13067

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive