Jika pilihan raya di Malaysia tidak bebas, adil dan tidak bersih, bagaimana Pakatan Rakyat boleh menang lima negeri dan dapat menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008?
Jawapannya, dalam bahasa yang mudah, iaitu jika pilihan raya bebas, bersih dan adil, PAS, PKR dan DAP – Pakatan Rakyat – sudah pasti berjaya membentuk kerajaan pusat dan memenangi hampir semua kerajaan negeri dalam PRU 2008.
Memang kenyataan itu boleh dipertikaikan dari segi strategi dan taktik tetapi hakikatnya amalan dan proses pilihan raya selama ini memang tidak adil.
Dan kerana itu parti-parti yang bukan dari kalangan BN sukar untuk menang kerana terlalu banyak amalan tidak adil, kongkongan keras dan tekanan berat daripada BN yang menyalahgunakan segala jentera, agensi, jabatan dan apa sahaja milik kerajaan hasil wang rakyat.
Apa yang tidak bebas, tidak adil dan tidak bersih dalam amalan pilihan raya hari ini?
Apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubar, tidak ada “kerajaan” yang memerintah sepanjang tempoh kempen pilihan raya sehingga selepas proses pengundian berakhir. Tetapi di Malaysia, kerajaan BN terus memerintah dan menyalahgunakan kuasa “sementara” (caretaker) untuk berkempen;
Kempen BN menggunakan agensi dan jabatan kerajaan yang mana semua itu dibiayai oleh hasil sumber negara dan wang cukai rakyat, dan bukannya milik poket peribadi BN;
Pemimpin-pemimpin BN menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri, menteri, ketua menteri, menteri besar, timbalan menteri, setiausaha parlimen, exco-exco negeri yang semuanya bertaraf “sementara” (caretaker) untuk mengumumkan projek pembangunan serta meluluskan projek dan program;
Kempen untuk BN juga mengguna pakai peralatan kerajaan seperti kereta, lori, helikopter, bot, kapal terbang dan sebagainya atas kedudukan calon-calon BN yang disalahgunakan sebagai pemimpin kerajaan;
Agensi-agensi kerajaan seperti RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan secara terang-terangan berkempen untuk BN dan menghentam parti-parti lain yang bertanding – hanya BN diberi ruang untuk media massa milik wang cukai rakyat;
Bagi media massa “swasta” pula, semua media arus perdana adalah milik BN, secara langsung atau tidak langsung, yang secara terang-terangan berkempen untuk BN. Mana-mana media yang tidak berbuat demikian terdedah kepada ancaman penarikan permit atau permit tidak diperbaharui mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA);
Tindakan pihak-pihak berkuasa termasuk polis yang membenarkan BN mengadakan ceramah tetapi sedaya-upaya menghalang atau menyukarkan parti-parti lain untuk melakukannya;
BN yang menyalahgunakan kedudukan sebagai kerajaan “sementara” mengamalkan undang-undang yang tidak adil seperti ancaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan dan sebagainya untuk menakut-nakutkan pengundi;
Amalan undi pos yang amat meragukan;
Pengundi dipindah tanpa pengetahuan mereka;
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak berani menegur pemimpin-pemimpin UMNO dan BN, sebaliknya menyusahkan parti-parti lain dengan amalan pelaksanaan proses pilihan raya yang berat sebelah.
Sudah beberapa kali pertemuan di antara parti-parti bukan BN diadakan dengan SPR tetapi sehingga hari ini, SPR hanya mampu:
1. Berjanji akan mengubah beberapa perkara dalam proses pilihan raya yang dilihat tidak penting
2. Menyerah kalah dengan mengatakan beberapa tuntutan Pakatan Rakyat memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan
3. Mengulangi kecaman UMNO, BN terhadap Pakatan Rakyat.
Mesej dari SPR adalah jelas. Ia adalah badan yang tidak bebas, lemah dan tunduk kepada UMNO dan BN. Jika SPR tegas dan tidak berpihak, sudah lama ia telah kemukakan tuntutan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih kepada pemerintah pusat untuk dipinda supaya menjadi lebih baik.
Atas sebab itu, kumpulan-kumpulan masyarakat madani yang sudah muak dengan sikap SPR mahu menganjurkan perhimpunan aman Bersih 2.0 untuk menuntut supaya pilihan raya yang bebas, adil dan bersih dapat diadakan. Itu saja tuntutan rakyat prihatin.
Mengapa SPR, UMNO dan BN menolaknya?
Kerana hanya dengan pilihan raya yang kotor dan tidak adil serta dikongkong, UMNO dan BN dapat mengekalkan kuasa selama mana yang mungkin.
Oleh kerana itu lah, BN sekali lagi dengan menyalahgunakan agensi dan jabatan kerajaan, telah bermati-matian mengancam, mengugut dan bertindak zalim terhadap rakyat yang hanya mahu pilihan raya yang bebas, bersih dan adil.
Kerana itu juga lah, UMNO dan BN tidak menjawab hujah dan tuntutan Bersih 2.0 secara langsung, sebaliknya membangkit perkara-perkara yang tidak berkaitan seperti kononnya perhimpunan Bersih akan menyebabkan kesesakan lalu lintas, akan menakutkan pelancong, akan menimbulkan huru-hara.
Barang diingat, perhimpunan aman secara besar-besaran anjuran Allahyarham Dato’ Onn Jaafar di seluruh Semenanjung pada 1946 bukan sahaja dapat melahirkan UMNO tetapi juga menghancurkan rancangan penjajah British untuk menubuhkan Malayan Union.
Kalau lah penjajah British yang dikatakan kejam dan zalim itu mengikut amalan UMNO dan BN hari ini, sudah tentu Dato’ Onn dan para pejuang Melayu tahun 1940-an ditangkap dan dihumban ke dalam penjara kerana berhimpun secara aman menuntut hak.
Maka rakyat Malaysia yang prihatin hari ini hanya menuntut hak; bukan menuntut diberi kerusi tambahan, bukan minta kuota kaum tambahan, bukan minta dirampas hak orang lain – hanya menuntut hak pilihan raya bebas, adil dan bersih yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment