13 July 2011

BERSIH 2.0 : Mengapa Umno gerun dengan Bersih?

Hari ini merupakan hari keempat selepas perhimpunan BERSIH 2.0. Gambaran terhadap perhimpunan tersebut semestinya masih segar dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia.

Secara kasarnya, terdapat dua kumpulan yang berbeza pendapat terhadap perhimpunan yang menuntut piliha nraya yang bersih dan adil, yakni kumpulan yang menyokong tuntutan BERSIH 2.0, sama ada yang telah melaungkan “Hidup, hidup; hidup Bersih” dengan bersemangat dalam perhimpunan itu ataupun mereka yang menyambut baik tuntutan tersebut namun tidak dapat menyertai perhimpunan itu kerana sebab tertentu.

Manakala satu lagi kumpulan yang memihak kepada pihak berkuasa yang telah memburukkan perjuangan BERSIH 2.0 dengan mengaitkannya dengan pelbagai dakwaan yang tidak masuk akal - BERSIH 2.0 didalangi oleh ideologi komunis dan Kristian untuk memecah-belahkan orang Melayu dan ketidak-tenteraman akibat daripada perhimpunan BERSIH 2.0 sehingga menyebabkan peniaga dan pemandu teksi mengalami kerugian.

Saya cukup yakin bahawa ramai pembaca tidak memahami dengan mendalam akan semua tuntutan BERSIH 2.0. Hal ini boleh dijelaskan dengan usaha memburukkan gabungan BERSIH 2.0 yang secara langsung telah mengaburkan tuntutan mereka.

Semua dakwaan yang dilontarkan ke atas gabungan dan perhimpunan BERSIH 2.0 sememangnya perlu dikaji satu per satu agar lapan tuntutan BERSIH 2.0 tidak dilenyapkan oleh mereka yang mempunyai tujuan tertentu.

Semestinya mereka ini tidak dapat terlari daripada media arus perdana dan pihak-pihak yang tersembunyi daripada “misi” tersebut.

Perpaduan Melayu

Dakwaan bahawa gabungan BERSIH 2.0 mempunyai niat untuk memisahkan masyarakat Melayu cukup merunsingkan saya. Saya cuba mencari kebenaran akan dakwaan tersebut.

Antara perkara yang muncul dalam minda saya ialah, kenapakah kaum Melayu akan menjadi pecah-belah ekoran daripada menuntut pilihan raya yang adil? Apakah definisi dan konteks perpaduan Melayu dalam dakwaan tersebut?

Sesungguhnya, perpaduan kaum Melayu buat sekian lama ini telah diletakkan dalam konteks Umno/BN. Sebarang usaha untuk menyatukan kaum Melayu yang bukan berasaskan konteks Umno akan dikaitkan dengan usaha memecah-belahkan kaum Melayu.

Seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat Malaysia, termasuk kaum Melayu, bebas untuk memilih parti dan ideologi politik mereka tanpa sebarang sekatan daripada apa jua pihak.

Maka, adalah cukup jahil sekali apabila adanya pihak tertentu yang mengkaitkan sokongan kaum Melayu terhadap parti politik selain Umno dengan tindakan memecah-belahkan kaum Melayu lalu menafikan hak kaum Melayu yang ingin memilih parti selain daripada Umno.

Perhimpunan BERSIH 2.0 ancam ketenteraman negara?

Persoalan di sini - kenapa orang Melayu perlu menyahut modul perpaduan yang dibentuk oleh Umno? Tidak mampukah masyarakat Melayu bersatu di bawah pimpinan parti lain yang mungkin jauh lebih berwibawa daripada parti yang kian hari kian cenderong memainkan politik kotor?

Oleh itu, orang Melayu perlu menyoal diri lalu mencari perpaduan yang mereka mahukan. Saya yakin bahawa ia semestinya akan bertambah baik sekiranya perpaduan orang Melayu yang dibentuk itu turut membantu untuk membentuk perpaduan sesama kaum di Malaysia.

Usaha ini semestinya dapat dijalankan dengan penerimaan secara terbuka terhadap kepelbagaian budaya dan etnik yang wujud di tanah air yang kita cintai ini.

Selain itu, pandangan bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 telah mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara turut merunsingkan diri saya.

Melalui bukti gambar dan video yang boleh didapati melalui laman sesawang dan diri saya yang turut menjadi saksi kerana menyertai perhimpunan berkenaan, adalah menjadi tanggungjawab kepada saya untuk menjelaskan betapa amannya perhimpunan BERSIH 2.0.

Jadi mangsa

Namun begitu ketenteraman perhimpunan berhenti ketika pihak polis memulakan serangan mereka terhadap peserta perhimpunan yang hanya mampu melaungkan pelbagai slogan yang menuntut pilihanraya yang adil.

Serangan air berkimia dan gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan menyebabkan mereka berlari bagaikan kambing keluar daripada kandang demi mengelak serangan yang dimulakan oleh pihak polis.

Berapa ramai orang yang akan berdiri pegun untuk didedahkan dengan bahan pemedih mata?

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sebilangan kecil yang cuba untuk menahan serangan tersebut, namun ramai yang lari bertempiaran akibat daripada serangan yang tidak sewajarnya dilakukan. Inilah ketidaktenteraman (lari untuk mendapat perlindungan) yang digambarkan dalam media arus perdana kita.

Bukan itu sahaja, adalah perlu kita sedar bahawa terdapat ramai peserta perhimpunan yang sudah meningkat usia, antaranya seorang “makcik bunga daisi” dan beberapa orang kelainan upaya (OKU) yang turut menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

Mereka menyertai perhimpunan tersebut dengan niat yang cukup naif, yakni menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Oleh itu, mereka yang berfikiran rasional akan faham bahawa peserta perhimpunan tidak akan mengancam keselamatan negara apatah lagi membawa kerugian kepada peniaga dan pemandu teksi.

Perlu disedarkan bahawa, perhimpunan BERSIH 2.0 hanyalah sehari maka kerugian (sekiranya ada) yang dialami hanyalah dalam masa yang cukup singkat.

Namun, pentadbiran negara (ekonomi khususnya) yang kian lemah akan mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan. Dalam keadaan sedemikian rupa, kerugian dan bebanan rakyat ekoran daripada pentadbiran negara yang kian hari kian kurang kopetitif semestinya jauh lebih lama sekiranya tiada penawar yang mujarab.

Siapa ganas?

Sementara itu, ada juga segolongan pihak yang mempersoalkan tindakan peserta perhimpunan BERSIH 2.0. Pada hemat mereka, sekiranya peserta perhimpunan tidak menyertai perhimpunan tersebut, maka tidak terdedahlah kepada tindakan ganas pihak polis.

Pandangan ini kelihatan logik pada luarannya, namum, secara tidak langsung pandangan tersebut telah menghalalkan serangan polis terhadap mereka yang ingin mempertahankan perkara yang mereka yakin betul – menyuarakan ketidakpuasan mereka secara aman terhadap sistem pilihan raya sudah kurang menyakinkan.

Persoalan yang tidak harus dipadamkan di sini ialah penyalahgunaan kuasa polis dan bukannya terus memburukkan peserta perhimpunan BERSIH 2.0.

Selain itu, perlulah kita kaji sebab-sebab mereka menyertai perhimpunan aman itu. Barangkali mereka sudah hilang keyakinan terhadap kesungguhan dan keikhlasan kerajaan mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan pilihan raya yang adil.

Sekiranya sistem pilihan raya di negara kita berada dalam keadaan yang terurus, semestinya tiada gabungan BERSIH 2.0 dan apatah lagi perhimpunan yang telah menggugat satu nyawa itu.

Kenangan manis

Sebaik sahaja tamatnya perhimpunan BERSIH 2.0, pelbagai kenangan manis yang seringkali muncul dalam ingatan saya. Antaranya, perpaduan dan tali persaudaraan yang terbentuk semasa perhimpunan tersebut.

Ramai peserta menghulurkan bantuan dan bahan-bahan pelega pedih mata seperti ubat gigi dan garam kepada peserta yang mereka langsung tidak kenali. Mereka berbuat demikian tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan mereka.

Inilah “1Malaysia” sebenar yang dapat dirasai dan bukannya melalui laungan bersifat munafik dan kurang keikhlasan itu.

Adalah diharapkan bahawa, kerajaan BN sedar akan mesej yang cuba disampaikan oleh peserta perhimpunan. Selain daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0, pada pendapat saya, kerajaan BN perlu sedar bahawa mereka perlu membuat perubahan mendadak terhadap kelemahan dan kekurangan mereka.

Sesungguhnya, tindakan mereka perlulah lebih bertanggungjawab dan telus dan bukannya terus terjebak dalam politik kotor yang akan menjauhkan rakyat (pengundi).

Akhir kata, dengan menyangkal bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 merupakan tuntutan dan kebangkitan rakyat secara tidak langsung telah mendedahkan betapa tidak yakinnya pihak kerajaan akan masa depan mereka yang mungkin kehilangan mandat untuk terus mentadbir negara yang rakyatnya makin mendahagakan perubahan dan demokrasi sebenar.

Namun, perlu kita ingat bahawa perjuangan untuk membentuk kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan demokrasi sebenar masih jauh perjalanannya dan ia tidak terhenti dengan perhimpunan BERSIH 2.0 sahaja.

Jadikanlah perjuangan dan penyertaan perhimpunan ini sebagai kenangan manis yang akan kita kongsikan bersama anak cucu kita kelak.

Penulis ingin mengambil peluang ini untuk menggesa kerajaan agar membebaskan 6 mangsa tahanan PSM dalam masa terdekat. Hentikan seksaan mental terhadap tahanan dan ahli keluarga mereka! (Sila baca artikel S Arutchelvam mengenai perbezaan sosialis dan komunis di http://www.malaysiakini.com/letters/168512)

2 comments:

perjalanan pulang said...

Saya terpanggil kesini,saya gembira melihat perpaduan ini, apatah lagi pengorbanan dilakukan oleh bangsa melayu itu sendiri. Bagaimana perasaan anda bila kaum china menyatakan bahawa rasakanlah sekarang kulit bertemu kulit, kami hanya menyaksikan secara live di TV".Ditengah tengah hujan air kimia dan gas pemedih mata itu, solat juga entah kemana ?

Anonymous said...

polis boleh la pukul org awam ikut suka sebab peserta demo x dibenarkan lwn polis..tapi harus ingat rakyat akan bangkit lagi dasyat dari perbuatan polis ini...allahuakbar..penjihad fisabililah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive