TANAH MERAH - Gara-gara ingin memadu asmara, dua pasangan ditahan oleh empat anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Jajahan Tanah Merah disalah sebuah hotel di Jalan Jedok jam 9 pagi semalam.
Menurut sumber, serbuan tersebut adalah untuk operasi rutin bulan Ramadan jika ada individu yang tidak puasa, namun yang ditahan adalah dua pasangan di bilik berasingan di hotel tersebut.
Serbuan ke atas pasangan pertama, yang mana gadis berusia 20 tahun bersama pasangan berusia lingkungan lewat 40-an mengambil masa 30 minit kerana mereka enggan membuka pintu bilik.
Menurut sumber, apabila pintu bilik dibuka kedua-dua mereka berpakaian lengkap di mana gadis dijumpai berada dalam tandas.
Manakala pasangan kedua yang ditahan berusia awal 20-an dan dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan.
Pegawai JHEAIK Tanah Merah , Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob ketika ditemui Sinar Harian mengesahkan kejadian tersebut.
“Kedua-dua kes tersebut akan dibicarakan mengikut seksyen 9(1) 9 (2) Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan akan dibicarakan pada 1 Novembe depan di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah.
“Kes tersebut adalah yang kedua sepanjang bulan Ramadan selepas di Becha Laut baru-baru ini,” katanya.
Nik Zuhdi juga menasihatkan, agar orang yang beragama Islam berkelakuan baik dan menghormati kesucian bulan Ramadan.
“Saya harap, semua individu yang beragama Islam, patuh kepada tuntutan agama dan sentiasa mengikut batas-batas yang digariskannya jangan hanya mengikut nafsu,” katanya.
2 comments:
Al-Quran melarang perbuatan mengintip bagi mencari maksiat peribadi yang bukan jenayah awam. Firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..” Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “Allah melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain. Kata Mujahid: “Ambillah apa yang nyata, dan tinggalkan apa yang Allah tutup”. Kata Qatadah: Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya. Kata Ibn Zaid: “Tajassus itu kamu berkata: sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui adakah benar atau tidak”.( al-Tabari, Tafsir al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik: Dar al-Qalam (1997)
ini bkn nak buka aib, kena faham ni....ini nak mencegah mungkar la...
Post a Comment