JOHOR BARU, 25 Nov ― Angkatan Muda PKR memberi Barisan Nasional (BN) amaran bahawa pihaknya akan turun ke jalan jika pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat, tidak dikendalikan dengan adil.
Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Amin memberitahu perwakilannya bahawa sebarang tindakan mengekang Pakatan Rakyat (PR) akan berhadapan dengan demonstrasi jalanan meskipun perhimpunan sedemikian tidak dibenarkan oleh undang-undang baru perhimpunan aman.
“Mereka tahu Bersih 3.0 akan berlaku, itu sebabnya mereka mahukan undang-undang ini,” katanya.
“Jika mereka menghalang kami, meskipun wujud satu kejadian menipu, kami akan menggunakan jalan raya. Lupakan pilihan raya, kita akan guna jalan raya,” katanya dengan disambut sorakan perwakilan Kongres AMK di sini hari ini.
Dalam ucapan menggulung perbahasan itu, Shamsul Iskandar juga memberi amaran bahawa “jika mereka memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Bersih 3.0, kami akan berhimpun untuk menggulingkan mereka.”
Terdahulu dalam ucapan perasmian Kongres AMK dan Wanita PKR, Timbalan Presiden Azmin Ali berkata kedua-dua pergerakan itu akan bangun meroboh tembok penjara jika pesaing politik meneruskan konspirasi mahu memenjarakan Anwar berhubung kes liwat kedua dihadapinya sekarang.
No comments:
Post a Comment