05 November 2011

Seksualiti Merdeka : UMNO Kelantan sambut baik tentangan TGNA

BACHOK – UMNO Kelantan menyambut baik sensitiviti kerajaan negeri pimpinan Pas yang menggesa tindakan tegas terhadap kumpulan penganjur Seksualiti Merdeka bermula semalam sehingga 13 November ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, agenda untuk melemahkan pegangan agama dan perpaduan umat Islam sebenarnya digerakkan kumpulan yang sama seperti Himpunan Bersih Julai lalu.

Menurutnya, kumpulan ini membawa agenda negatif sehingga ada kalanya Pas terikut- ikut agenda mereka seperti mana yang berlaku ketika perhimpunan Bersih.

“Saya menyambut baik jika pemimpin negeri di Kelantan termasuk Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menentangnya secara jelas kerana ia melibatkan perihal akidah umat Islam.

“Saya harap pendirian ini konsisten dalam pelbagai hal dan bukan hanya memilih isu untuk dikompromi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam al- Quran di Sekolah Kebangsaan (SK) Bachok dekat sini semalam.

Program khatam al- Quran itu melibatkan 136 murid tahun enam dari 30 buah sekolah dalam Pejabat Pelajaran Daerah Bachok.

Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid.

Awang Adek berkata, tindakan pihak tertentu yang berusaha menganjurkan Seksualiti Merdeka di negara ini adalah tindakan biadab yang tidak menghormati sensitiviti orang Islam.

“Ini adalah usaha memerangi kerajaan persekutuan untuk memartabatkan Islam dalam menegakkan syiar Islam dan melahirkan generasi berakhlak mulia.

“Semua agenda yang bertentangan dengan ajaran Islam sewajarnya perlu ditentang secara telus oleh semua pemimpin termasuk Pas tanpa bimbang menjejaskan hubungan politik dengan pihak tertentu,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja isu penganjuran Seksualiti Merdeka perlu ditentang, malah melibatkan isu murtad dan perjuangan kebebasan yang tidak berlandaskan hukum Islam, bertentangan dengan adat susila Melayu serta perundangan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara. - SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive